SEREMBAN: Walaupun berada di bulan Ramadan, Akademi Silat Memanah Seremban (ASM) meneruskan latihan mingguan bagi pesilat kanak-kanak dan remaja pada waktu malam terutama di gelanggangnya di beberapa masjid di sekitar daerah ini.

Ditemui di Gelanggang Masjid Hussain, Seremban 2, di sini, Pengerusi ASM, Imran Mohamad berkata, latihan berkenaan tidak mengganggu ibadat murid dan ibu bapa kerana diadakan di pekarangan masjid selepas selesai solat tarawih.

Malah, katanya, aktiviti itu menggalakkan murid dan ibu bapa datang ke masjid lebih awal untuk bersama-sama menunaikan solat terutama isyak, disusuli dengan tarawih sebelum latihan bermula.

"Kami memutuskan tidak menghentikan latihan mingguan kerana ia akan mengganggu penguasaan murid jika mereka tidak mengikuti latihan selama sebulan.

"Jadi kami sesuaikan semula masa latihan. Sebelum ini latihan bermula selepas solat isyak tapi pada bulan Ramadan ia dianjakkan kepada selepas solat tarawih iaitu sekitar jam 10 malam dan berakhir antara jam 11 hingga 11.30 malam.

Pesilat ASM meneruskan latihan mingguan pada bulan Ramadan.

"Mengambil kesempatan bulan Ramadan, jurulatih turut menyelitkan nasihat-nasihat kepada murid mengenai ibadat puasa supaya murid mendapat penghayatan yang lebih.

"Malah kami kerap menekankan, bahawa Rasulullah juga berperang di bulan Ramadan, namun dalam keadaan yang lebih mencabar iaitu cuaca panas dan keadaan di padang pasir.

"Kami kaitkan dengan mereka bahawa walaupun orang Islam perlu berpuasa, namun aktiviti harian yang baik tidak perlu dihentikan. Kita teruskan seperti biasa, namun tumpuan kepada ibadat perlu dilebihkan," katanya.

Beliau berkata, pihak masjid turut memberi kebenaran kepada pihaknya menggunakan kawasan di tepi ruang solat utama untuk menjalankan aktiviti latihan.

Pesilat ASM menjalani latihan selepas solat tarawih di Masjid Hussain, Seremban 2.

Sementara itu, jurulatih, Muqawwam Abdul Rahman berkata, latihan mingguan itu mendapat sokongan daripada murid dan ibu bapa.

"Kami menerima respons yang positif daripada ibu bapa yang tidak kisah menghantar anak mereka ke gelanggang di masjid ini pada hari Jumaat malam.

"Malah mereka dapat mengambil kesempatan menunaikan solat tarawih di masjid ini setiap minggu kerana biasanya kebanyakan mereka menunaikan solat di surau berhapiran rumah masing-masing," katanya.

ASM yang bernaung di bawah Pertubuhan Silat Gayong Fatani Cawangan Negeri Sembilan mempunyai 15 gelanggang dengan enam daripadanya di masjid, antaranya Masjid Saidatina Khadijah Taman Seremban Jaya, Masjid Rasah Jaya dan Masjid Taman Bandar Senawang.

Sebahagian pesilat ASM Gelanggang Masjid Hussain, Seremban 2, bergambar bersama jurulatih.