PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan tumpuan semula kepada epidemik Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dalam kalangan kumpulan B40 sepanjang tempoh negara melalui fasa transmisi COVID-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pendedahan kepada NCD penting kerana sebahagian besar golongan itu tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit berkenaan.

Katanya, NCD yang tidak dikawal akan mengakibatkan peningkatan penyakit kardiovaskular dan peningkatan golongan orang kurang upaya (OKU), seterusnya membawa kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan.

“Kalau kita lihat COVID-19 dalam tempoh tiga atau empat hari kita akan dapat manifestasi gejala. Tetapi kalau kita lihat NCD, gejala atau kemudaratan hanya boleh dilihat pada tahun-tahun akan datang. 

“Kita tidak tahu jika kita tidak mengurus dengan baik, tetapi penyakit itu manifestasinya mungkin akan mengambil masa beberapa tahun berbanding COVID-19.

“NCD ini ibarat ‘ticking time bomb'... kita tahu dia ada tetapi suatu hari nanti dia akan meletup. Dan apabila ia meletup, ia sudah terlewat kerana kita terpaksa menjaga dan merawat,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi tahun 2020 - 2021 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan I dan II, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Aaron Ago Dagang, dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; dan Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli.

Mengulas lanjut, Khairy berkata sejak PeKa B40 diperkenalkan pada 2019 sehingga sehingga 31 Mac 2022, jumlah keseluruhan bagi saringan kesihatan PeKa B40 adalah sebanyak 582,746 daripada 5.9 juta yang layak.
 
Daripada jumlah yang disaring, Khairy menambah seramai 186,610 orang dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit NCD.

“National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019 melaporkan NCD telah menyumbang 67 peratus daripada kematian pramatang.

“Laporan NHMS juga menyatakan satu daripada 5 orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes (3.9 juta orang berumur 18 tahun dan ke atas).

“Manakala tiga daripada 10 orang di Malaysia (6.4 juta orang di Malaysia) mempunyai darah tinggi dan empat dalam 10 orang (8 juta orang di Malaysia) mempunyai kolestrol tinggi,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata saringan kesihatan berkala berupaya mengesan sesuatu NCD dengan lebih awal dan seterusnya intervensi serta rawatan dapat diberikan sebelum sesuatu penyakit menjadi lebih serius. 

“Ia bagi memastikan rakyat kita ada panduan asas mengenai tahap kesihatan, tahap kolestrol, tekanan darah dan maklumat kesihatan yang saya tahu tentang diri. 

“Kedua, kita mengisytiharkan perang terhadap faktor-faktor seperti merokok dan sebagainya,” ujarnya lagi.