KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kemungkinan hujan lebat dan ribut petir akan berlaku di sesetengah negeri di Malaysia menjelang Aidilfitri nanti, susulan Syawal 2024 bakal berada pada fasa peralihan monsun.

Menurut Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi, beberapa negeri yang terlibat adalah di pantai timur, Sabah dan Sarawak.

“Secara umum untuk seluruh Malaysia, kita jangka hujan di sebelah pagi di negeri-negeri pantai timur, dan juga di selatan Sarawak dan timur Sabah.

“Di sebelah petang, ada aktiviti hujan dan ribut petir di kebanyakan tempat di Sarawak dan pedalaman semenanjung. Itu antara kawasan yang kita jangka mengalami hujan,” jelasnya.

Bagaimanapun, MetMalaysia menggalakkan semua untuk menyemak ramalan cuaca di kawasan masing-masing pada tarikh Hari Raya nanti bagi perancangan ziarah-menziarahi dan rumah terbuka.

Beliau berkata demikian dalam diskusi di Awani Pagi pada Khamis.