Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy hadir ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya susulan dua artikel disiarkan dua portal berita bulan lepas.

Beliau ditemani peguamnya, Ragunath Kesavan, serta beberapa pengikut, termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor, V Ganabatirau, tiba kira-kira jam 9.50 pagi.

Ramasamy memberi keterangan bermula jam 10 pagi.

Katanya, beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Hari ini saya datang ke Bukit Aman untuk memberikan kenyataan tentang dua perkara.

"Pertama, mengenai penulisan saya tentang 'New Goverment But The Same Old Police Force' yang dapat diterjemahkan kepada 'Malaysia Kerajaan Baharu Tetapi Polis Di Takuk Lama.

"Maka rujukan polis adalah kepada artikel yang telah diterjemahkan Malaysia Gazette.

“Selepas beberapa hari, polis juga mahu ambil kenyataan berhubung artikel Malaysiakini bertajuk 'Who Am I? Am I a terrorist or peacemaker?' di mana saya jelaskan peranan saya sebagai pendamai, seperti Sri Lanka, Acheh, Columbia dan Mindanao.

"Jadi, mereka mahu ambil kenyataan. Dan, saya ingat, ada juga laporan polis,” katanya kepada pihak media ketika ditemui di luar Bukit Aman sebelum masuk memberi keterangan.

Dalam masa sama, beliau turut menolak perkara berkenaan ada kaitan dengan isu perkauman.

“Saya harap tidak. Saya tidak rasa (begitu). Ini bukan isu kaum India, Cina dan Melayu,” tambah Ramasamy.

Katanya, polis ada hak untuk mengambil kenyataan daripadanya.

Bagaimanapun, beliau yakin beliau juga berhak untuk bersuara dan memberikan pendapat.

“Saya sentiasa boleh memberikan my free speech. Malaysia lebih bebas (bersuara) sekarang berbanding dulu. Saya tidak ada apa-apa kebimbangan, kerana saya rasa negara Malaysia berhak untuk menulis dan berucap tentang beberapa isu.

“Jadi, terpulang kepada polis dan mana-mana individu, sama ada ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang di Malaysia,” ujarnya.

Pada 17 Okt lepas, Ramasamy dilaporkan diminta memberi keterangan berhubung artikel tersebut yang disiarkan di laman web Malaysia Gazette pada 17 Sept.

Dalam artikel itu, Ramasamy telah mengulas tindakan polis menembak mati tiga lelaki yang disyaki perompak di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang, Selangor, 14 Sept lepas.