Jabatan Kastam Diraja Kelantan merampas pelbagai jenis rokok seludup yang melibatkan anggaran cukai bernilai hampir RM2 Juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Lemal, Pasir Mas petang semalam.

Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata dalam serbuan pukul 4 petang pihaknya telah merampas 22,278 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai rm243,990,40 dengan cukai bernilai RM1.99 juta.

Susulan itu pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bersama sebuah van yang dipercayai digunakan untuk mengangkut dan mengedarkan rokok berkenaan di sekitar pantai timur dan Kelantan.

Bagaimanapun katanya seorang lelaki dipercayai bapa lelaki yang ditahan masih diburu pihaknya kerana dipercayai ketua sendiket pengedaran rokok seludup di negeri ini.

Katanya pihaknya percaya kumpulan ini menjadikan daerah pasir mas sebagai transit pengedaran rokok seludup.

“Saya menyerulah kepada semua sekali supaya menghubungi pihak kastam sekiranya terdapat ada berpengetahuan di suatu tempat ada menyimpan atau ada kenderaan yang mengangkut atau apa saja maklumat melibatkan rokok gudang garam atau rokok pelbagai jenis secara tidak sah,” kata Datuk Azis Yacub.

Azis berkata maklumat kegiatan pengedaran, penyeludupan dan penjualan rokok yang tidak berlesen atau diseludup amat diperlukan bagi mematahkan cubaan mereka membawa masuk rokok ke negara ini.

Pihaknya tidak akan berkrompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan kegiatan penyeludupan rokok.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menyewa rumah di kawasan perumahan bagi menyimpan rokok seludup dan membuatkan rumah tersebut seolah-olah berpenghuni.

Namun apabila diperiksa didapati rumah itu semata-mata digunakan untuk menyimpan rokok seludup di mana tiada perabot atau apa-apa peralatan lain di dalam rumah berkenaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda minimum 10 kali ganda dan maksimum 20 kali ganda daripada nilai barang yang dirampas atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.