Rangka manusia di rumah terbiar bongkar misteri kehilangan lima beranak

Ab Rahaman pada sidang akhbar mengenai kehilangan lima beranak yang ditemui maut dipercayai dibunuh.
JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan lima beranak akhirnya terungkai apabila polis menemui rangka manusia dipercayai dibunuh dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai pada awal bulan lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, polis menerima laporan orang hilang sebelum seorang lelaki berusia 48 tahun tampil membuat laporan berhubung penemuan rangka manusia di lokasi berkenaan pada kira-kira jam 1.28 tengah hari pada 9 Januari lalu.
Menurutnya, laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ketika pengadu sedang berusaha menjejaki isteri serta anak-anaknya yang sudah lama terpisah dan dikatakan tinggal di rumah berkenaan terletak dalam kebun kelapa sawit.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati rangka manusia ditemui di dalam sebuah rumah yang telah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit tersebut.
“Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik mengesahkan enam rangka manusia terdiri daripada dua dewasa terdiri daripada lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 35 tahun. Kedua-duanya mempunyai hubungan kenalan.
"Seterusnya anak kepada wanita berkenaan iaitu seorang remaja perempuan 17 tahun, kanak- kanak perempuan berusia 5 dan 9 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Selasa.
Ab Rahaman berkata, bedah siasat dilakukan pihak forensik percaya mayat dibakar kira-kira tiga bulan lalu.
"Susulan itu, pada 21 Januari, polis menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warganegara Malaysia berusia antara 19 hingga 35 tahun, di sekitar kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan sebagai rakan penagih. Manakala semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan dipanggil sebagai saksi.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
"Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan prosiding mahkamah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline siasatan,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


