KUALA LUMPUR: Orang awam yang mempunyai rekod kehilangan saudara-mara diminta tampil ke balai polis susulan penemuan mayat rangka manusia di Jalan Kerayong di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar, pihaknya menerima laporan pada 1.42 tengah hari semalam.

"Berdasarkan laporan, saksi menemui mayat itu di dalam semak di lokasi kejadian.

"Butiran mangsa belum dikenal pasti disebabkan mayat dalam keadaan reput dan kepala mayat terpisah dengan jarak lebih kurang tiga kaki.

"Baju mangsa adalah jenis kemeja jenama 'Seven Saints' berwarna merah," katanya dalam satu kenyataan.

Anuar berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, lokasi kejadian tidak mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada pengawal keselamatan.

"Pihak Forensik, Unit K9 dan ahli patologi dari Hospital Kuala Lumpur ( HKL) turut hadi di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," ujarnya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berdekatan.