Rapid KL menyediakan 25 buah bas untuk kegunaan para atlet dan pegawai sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016 yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai ini di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Zulkifli Mohd Yusoff berkata perkhidmatan bas itu akan turut disediakan untuk kejohanan Sukan Paralimpiad yang bermula pada 1 Ogos depan.

"Kesemua 25 buah bas itu dihantar menggunakan kapal laut dan telah berlepas ke Kuching dari Pelabuhan Kelang semalam dan dijangka tiba pada 4 Julai depan manakala sejumlah 30 kapten bas akan tiba di Kuching pada 10 Julai dan akan diberi latihan mengenai laluan bas di Kuching dalam operasi khas ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifli berkata bas yang bercirikan akses universal iaitu mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan ditempatkan sementara waktu di Pelabuhan Kuching sebelum diserahkan kepada Sekretariat Sukma 2016 pada 11 Julai depan.

"Perkhidmatan bas ini adalah khusus untuk kegunaan para atlet dan pegawai yang terlibat Sukma 2016 berbeza berbanding perkhidmatan bas disediakan untuk orang ramai ke perlumbaan Formula 1 (F1), MotoGP dan Kejuaraan Superbike Dunia di Sepang, Selangor," katanya.

Beliau berkata operasi perkhidmatan bas itu akan bermula secara rasmi pada 11 Julai depan.