Rapid Rail Sdn Bhd pengendali perkhidmatan LRT dan Monorel di Lembah Klang memohon maaf kepada pengguna LRT Laluan Sri Petaling dan Ampang atas kelewatan jadual perjalanan yang berlaku sejak pagi tadi.

Kelewatan tersebut berlaku adalah kerana hanya 16 daripada 32 tren yang dapat beroperasi pada pagi Isnin.

“Hal ini disebabkan masalah bekalan kuasa yang dihadapi di depoh baru LRT Rapid KL di Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB), Puchong pada pukul 6.16pagi tadi (Isnin).

“Masalah bekalan ini telah menyebabkan tren tidak dapat bergerak keluar dari depoh,” kata kenyataan yang dikeluarkan Prasarana Malaysia Berhad.

Tambah Prasarana, tren baharu AMY hanya dapat dikeluarkan dari depoh selepas jam 7 pagi setelah bekalan kuasa pulih sepenuhnya.

Masalah ini telah menyebabkan pengguna terpaksa menunggu tren lebih lama khususnya di stesen pertukaran Chan Sow Lin.

Dalam pada itu, perubahan ini tidak disambut baik oleh para penumpang, lebih-lebih lagi selepas kesesakan teruk berlaku pagi ini.

Kebanyakan penumpang merungut di media sosial berkenaan kesesakan melampau di beberapa stesen seperti Chan Sow Lin.

Mulai 17 Julai 2016, laluan terus dari Sentul Timur ke Putra Heights dikenali sebagai Laluan Sri Petaling.

Laluan Ampang ditukar kepada laluan pengantara dari stesen Ampang ke Stesen Chan Sow Lin

Pengguna dari Laluan Sri Petaling yang ingin ke Laluan Ampang harus turun di Stesen Chan Sow Lin untuk bertukar platform ke Laluan Ampang, manakala penumpang dari Ampang yang ingin ke Sentul Timur atau Putra Heights harus bertukar platform di stesen yang sama.

Para penumpang dimohon untuk merujuk kepada notis penunjuk arah dan pengumuman dari sistem siaraya di stesen atau kakitangan bertugas sekiranya perlu.