KUALA LUMPUR: Tekanan mencari wang lebih dan peluang tersedia menyebabkan ada penguat kuasa didakwa menerima rasuah daripada nelayan asing untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar dalam masa sama menjelaskan, sikap ketua yang tidak menunjukkan teladan yang baik juga menyebabkan rasuah di tengah lautan masih berlaku.

Kata Akhbar, masalah rasuah itu merupakan isu integriti sebilangan oleh pegawai yang tidak memikirkan masa depan nelayan tempatan dan imej negara.

Malah rasuah di tengah laut itu makin rumit apabila tekanan ekonomi semasa pandemik COVID-19.

"Di musim pandemik ini, dari segi Fraud Theory, kebanyakan daripada masyarakat kita yang ada masalah banyak dan ingin mewah mereka cari jalan mudah kerana tekanan, mereka ingin dapat duit lebih maka apa sahaja diambil.

"Kedua, peluang, di dasar laut itu susah nak cari agensi seperti SPRM dan sebagainya tetapi mereka akan guna peluang ini untuk kutip duit.

"Satu lagi ialah keadaan politik negara, orang atas makan, ketua makan, dia pun nak makan. Ini kita kena fikirkan kalau tak laksanakan penguatkuasaan dengan baik, ia akan jadi lebih buruk," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Pada Isnin, Astro AWANI mendedahkan mengenai nelayan asing yang berterusan menjarah hasil laut negara, menyebabkan nelayan tempatan merungut kerana kerosakan habitat laut yang berpunca daripada penggunaan pukat tunda tidak mengikut  spesifikasi.

Namun, ada nelayan asing ini yang dibebaskan kerana segelintir pihak berkuasa didakwa galak makan duit haram di tengah laut.

BACA: [LAPORAN KHAS]: Rasuah terapung di tengah laut

Mengulas lanjut, Akhbar berkata, Malaysia perlu melihat semula kelemahan dalam undang-undang berkaitan perairan serta sikap berlembut negara terhadap nelayan asing yang melakukan kesalahan.

Beliau memberi contoh negara jiran seperti Indonesia yang mengambil tindakan tegas terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan dengan meletupkan bot atau kapal milik mereka.

"Saya rasa undang-undang boleh dikatakan bagus, jika kita lihat kepada undang-undang SPRM. Namun ini merupakan satu isu integriti. Jika nelayan, penguat kuasa tiada integriti maka itu agak sukar.

"Satu lagi, kita begitu lembut sekali dengan bot-bot asing. Jika kita lihat dan banding dengan negara Indonesia, kita dapati bahawa semasa pemerintahan Jokowi hingga sekarang ini, mana-mana bot luar yang masuk perairan mereka, mereka akan ambil, rampas dan letupkan.

"Jadi itu merupakan satu undang-undang bagus tetapi kita tidak mempunyai undang-undang sedemikian sebab kita ini terlalu baik," kata Akhbar lagi.

Dalam masa sama, kata beliau, pendakwaan terhadap nelayan asing juga mengambil masa terlalu lama.