PUTRAJAYA: Kawalan penuh Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas urusan perniagaan SRC International Sdn Bhd jelas menunjukkan Lembaga Pengarah syarikat itu hanyalah ‘boneka’ yang menari mengikut rentak tuannya, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V Sithambaram berhujah, kedudukan unik bekas Perdana Menteri itu dalam SRC, sejak awal penubuhan sehinggalah menjadi anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), menunjukkan perayu tidak bertindak atas kapasiti profesional melalui mekanisme Kerajaan.

Tambahnya lagi, pengawalan Najib ke atas SRC adalah bukti perayu bertindak atas kapasiti peribadi, apabila beliau jelas menandatangani kesemua arahan pemegang taruh, yang akhirnya dilaksanakan oleh Lembaga Pengarah SRC International.

“Minit pemegang taruh jelas menunjukkan, daripada membiarkan Lembaga Pengarah menguruskan perihal SRC, perayu mengambil alih syarikat itu dan memberi arahan spesifik agar dana SRC disalurkan ke luar negara melalui Dubai, Hong Kong, dan Switzerland.

“Penyaluran kesemua dana ini ke luar negara, langsung tidak ada kena mengena dengan tujuan asal mengapa (dana RM4 bilion) diperolehi dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), iaitu untuk sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya lagi.

Sithambaram berkata demikian ketika membentangkan hujah balas di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Abdul Karil Abdul Jalil sewaktu prosiding rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ke atasnya.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Beliau kini dalam cubaan pertama untuk mengenepikan hukuman yang disabitkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu.

[LAPOR LANGSUNG]  Rayuan kes SRC Najib masuk minggu ketiga

Mahkamah Rayuan | Prosiding rayuan Najib masuk minggu ke tiga

Dalam pada tu, Sithambaram berkata, Hakim Bicara (Mohd Nazlan) dengan tepat dalam alasan penghakimnya (GoJ) bahawa pengarah SRC perlu mengikut arahan pemegang taruh, memandangkan perayu mempunyai pengaruh dan kawalan keterlaluan dalam syarikat itu.

“Kawalan penuh perayu (Najib) ke atas SRC adalah bukti jelas beliau bertindak atas kapasiti peribadi, dan bukan dalam kapasiti prinsipal, dimana beliau sendiri menandatangani kesemua arahan pemegang taruh, dan seterusnya dilaksanakan Lembaga Pengarah SRC,” katanya lagi.

Sithambaram berkata, segala bukti yang dinilai jelas menunjukkan perayu menyusun segala urusan SRC, yang mana beliau diamanahkan untuk menjaga aset dan harta.

Hujahnya lagi, ini terjadi ketika Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri ketika penubuhan SRC International, dan beliau mengeluarkan arahan pemegang taruh yang perlu diikuti Lembaga Pengarah SRC.

“Peranannya dijadikan secara rasmi dengan mewujudkan jawatan Penasihat Emeritus untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam SRC, dan membolehkan beliau memberi arahan terus kepada Lembaga Pengarah SRC seperti tuan mereka,” hujahnya lagi.