SHAH ALAM: Rayuan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih tidak dibincangkan pada persidangan ke-59 Lembaga Pengampunan kerana ia perlu mengikut giliran.

Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana masih terdapat banyak lagi permohonan pengampunan lain yang perlu dibincangkan oleh lembaga tersebut.

“Kenyataan Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkaitan dokumen Najib masih belum boleh proses sebab banyak lagi pengampunan-pengampunan lain menanti giliran.

“Persidangan pengampunan ini ada giliran dan mesyuarat adalah berkala. Ini (mesyuarat) tiga kali setahun kadang-kadang empat kali setahun. Perlu tunggu giliran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sinar Live yang bertajuk Pengampunan Kompromi Keadilan? yang dihoskan oleh Haizir Othman pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan rayuan pengampunan Najib tidak dibincangkan pada persidangan ke-59 Lembaga Pembangunan lalu di Istana Negara Jumaat lepas.

Khairul Dzaimee berkata, kertas berkaitan rayuan pengampunan Najib akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan yang terpakai.

Menurut Mohamed Haniff, sekiranya permohonan pertama yang dilakukan Najib pada 2 September lalu ditolak ataupun tidak dilayan, beliau masih boleh membuat permohonan semula untuk kali kedua.

Jelasnya, permohonan kedua boleh dilakukan setelah beliau tamat tempoh tiga tahun menjalani hukuman iaitu pada 23 Mei 2025.

“Permohonan ketiga pula tempoh dua tahun. Dan selanjutkan selang dua tahun. Itu untuk pemohon bantuan.

“Tetapi untuk pemberi pengampunan iaitu Yang di-Pertuan Agong tidak ada tempoh atau sekatan ditetapkan sebab ini kuasa mutlak Baginda. Undang-undang mengatakan tidak boleh meletakkan tempoh kepada Baginda,” ujarnya.

Tambah beliau, permohonan pengampunan memerlukan masa yang panjang untuk diteliti. - Sinar Harian