PUTRAJAYA: Untuk kesekian kalinya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat enggan melayani permintaan ketua pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik untuk penangguhan rayuan utama bekas Perdana Menteri itu.

Sejurus selepas ketua pendakwaan Datuk V Sithambaram selesai dengan hujahan lisannya, Hisyam sekali lagi bangkit memohon penangguhan sehingga Khamis hadapan.

Katanya lagi, beliau perlu menghadiri satu lagi kes melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada minggu hadapan, namun alasan itu tidak diterima Tengku Maimun.

“Seperti mana yang kami (panel lima hakim) sebutkan beberapa kali, tidak ada penangguhan terhadap rayuan ini. Kita akan ikut masa yang telah ditetapkan. Tuan Haji (Hisyam) masih dalam rekod (sebagai peguam bela),” tegasnya lagi.

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini

Sebelum ini mahkamah telah menetapkan perbicaraan untuk bersambung semula Selasa depan.

Selain Tengku Maimun, turut membarisi panel lima hakim itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan - Datuk P Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hisyam kemudian berkata, penangguhan sehingga ke Selasa depan masih tidak mengubah apa-apa, namun alasan itu tidak diterima Tengku Maimun.

Katanya lagi, Hisyam dan pembelaan mempunyai masa tiga hari dari hari ini untuk membuat persiapan, memandangkan perbicaraan akan bersambung pada Selasa.

“Anda ada tiga hari dari sekarang. Jangan beritahu saya anda langsung tidak boleh berbuat apa apa persiapan untuk salah satu daripada 94 alasan rayuan?” soalnya lagi.

Sebelum ini tarikh perbicaraan rayuan utama melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu telah ditetapkan antara 15 hingga 16 Ogos ini, namun, pada 15 dan 16 Ogos, mahkamah telah mendengar rayuan pembelaan untuk memasukkan bukti baharu, dan permohonan Hisyam untuk mengecualikan diri terlebih dahulu.

Terdahulu, dalam hujahan lisannya selama dua hari (18 dan 19 Ogos), ketua pendakwaan Sithambaram telah menyentuh mengenai peranan Najib selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian telah menyebut bagaimana bekas Perdana Menteri itu tidak mempersoalkan kemasukkan RM42 juta ke dalam dua akaun peribadinya, malah menggunakannya untuk tujuan peribadi.

Sithambaram kemudian berkata, Hakim Bicara (ketika ini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak membuat sebarang kesilapan dalam mensabitkan Najib terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International itu pada 28 Julai 2020.

Mohd Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

Perbicaraan bersambung pada Selasa.