PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Datuk Seri Najib Tun Razak kerana cuba menangguhkan rayuan akhir perbicaraan berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ialah untuk memastikan beliau masih ‘tidak bersalah’ pada pilihan raya akan datang.

“Apa dilakukan ialah untuk tangguh semuanya. Jadi pada pilihan raya (Pilihan Raya Umum ke-15), dia masih tidak bersalah. Dia dalam rayuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden Gerakan Tanah Air (GTA) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, bagaimanapun pada masa ini semuanya terletak kepada pihak mahkamah.

Ini kerana, dakwa Dr Mahathir, seluruh dunia tahu bahawa bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah di Amerika Syarikat (AS).

“Anda boleh lihat selepas empat tahun dia dihadap ke mahkamah, (Najib) masih bebas.

“Semua dunia tahu dan AS telah mendapati dia bersalah. Tetapi di Malaysia, dia masih memakai tie (tali leher) dan boleh pergi ke Parlimen dan beritahu kerajaan apa nak buat, macam mana nak buat, macam manak nak curi duit.

“Dia adalah penasihat kepada kerajaan,” kata Dr Mahathir dalam nada sinis.

Ditanya mengenai kebebasan kehakiman di Malaysia, Dr Mahathir berkata, setiap negara mengamalkan sistem kehakiman yang berbeza.

Di Perancis misalnya, beliau berkata, seseorang itu didapati bersalah sehingga tertuduh berjaya membuktikan dia tidak bersalah.

"Sistem British ini, anda tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan apabila anda dibuktikan bersalah pun ada perbezaan. Di negara lain walaupun anda merayu dan dibuktikan bersalah, anda masuk penjara dan boleh tunggu sampai rayuan di mahkamah sehingga kata anda tak bersalah.

"Tetapi di Malaysia ini apabila kamu merayu saja, seolah-olah berkata dia tak bersalah tetapi dia didapati bersalah dan sepatutnya dia jalani hukuman. Tetapi entah macam mana dunia ketawa melihat banduan bukan main tinggi (diberi) layanan... dia boleh nasihat kepada kerajaan bagaimana nak memerintah," tegas Dr Mahathir lagi.

Dalam masa sama, Dr Mahathir berpendapat, konsep pengasingan kuasa di negara ini seolah-olah menampakkan perundangan dan eksekutif (pemerintah) adalah bersama.

"Umpamanya kalau kita kena bayar cukai pendapatan, satu orang itu dapati perlu bayar (lambat). Tetapi kita dapati ada orang yang perlu bayar dan ditekan agar segera (bayar). Tetapi Najib tak payah bayar...," katanya lagi.