MALAYSIA
Razarudin sebak beri ucapan terakhir, luah harapan PDRM diletak di bawah kementerian khusus

Razarudin dilihat beberapa kali menahan sebak ketika menyampaikan ucapan terakhirnya di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, Jumaat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Detik penuh emosi menyelubungi Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain apabila beliau dilihat beberapa kali menahan sebak ketika menyampaikan ucapan terakhirnya di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, Jumaat.
Ringkasan AI
- Tan Sri Razarudin Husain menamatkan kerjaya 42 tahun dalam PDRM dengan penuh emosi, dan mencadangkan agar PDRM diletakkan di bawah kementerian khas untuk memperkukuh kecekapan dan daya saing global.
- Beliau mengemukakan cadangan rasmi kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, dengan menekankan PDRM sebagai agensi besar yang perlu struktur pentadbiran khusus, seperti amalan di beberapa negara lain.
- Antara inisiatif terakhir beliau ialah penubuhan Jabatan Siber dan Teknologi PDRM, yang bertujuan mengukuhkan kesiapsiagaan jenayah digital dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan secara menyeluruh.
“Kami percaya keupayaan pasukan akan menjadi lebih utuh sekiranya diletakkan di bawah satu kementerian khusus.
“Saya melihat keperluan ini sebagai suatu resolusi penting untuk memastikan PDRM terus relevan, selari dengan evolusi era globalisasi dan digital masa kini,” katanya di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Razarudin turut merujuk kepada model pentadbiran kepolisan antarabangsa seperti di China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan dan Brunei yang masing-masing meletakkan agensi kepolisan mereka di bawah sebuah kementerian khas.
Menurut beliau, satu kertas cadangan rasmi berkaitan penubuhan kementerian khas untuk PDRM telah pun dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk pertimbangan.
“Saya optimis bahawa resolusi ini akan membawa kebaikan dan perubahan besar dalam memperkasakan perkhidmatan awam demi kemaslahatan bersama,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dalam usaha untuk merangsang motivasi ke arah peningkatan tahap penyampaian perkhidmatan, Razarudin turut mengusahakan beberapa inisiatif pemberdayaan pasukan itu termasuk penubuhan Jabatan Siber dan Teknologi sebagai entiti khas.
Dengan itu menurutnya, ia dapat meningkatkan kekuatan pasukan itu dengan keupayaan logistik serta teknologi yang lengkap dan terkini seiring evolusi lanskap jenayah yang semakin drastik.
“Jabatan ini berperanan mengkoordinasi perkongsian maklumat antara jabatan-jabatan PDRM bagi menghasilkan momentum kejayaan penguatkuasaan yang lebih berkesan dengan jumlah keberhasilan
yang lebih tinggi.
“Untuk makluman bersama, gerak kerja penubuhan jabatan ini sedang giat dilaksanakan dan telah diangkat untuk pertimbangan Kementerian Dalam Negeri," tambahnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami