Bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ada memasuki bilik dagangan mata wang asing semasa proses jual beli berlangsung.

Itu pengakuan yang dibuat oleh saksi ke-18, Azman Mat Ali pada hari keenam prosiding Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkenaan urus niaga mata wang asing oleh BNM pada 1988 hingga 1994.

Azman yang bertugas sebagai pedagang matawang asing sejak 1988 hingga 1998 berkata beliau ada menjelaskan kepada Nor Mohamed berkenaan aturan urus niaga yang sedang dilakukannya.

"Dia (Nor Mohamed) ada masuk bilik dagangan. Dia duduk sebelah saya. Saya tunjuk apa yang saya buat, (termasuk) jual beli apa semua," katanya dihadapan lima panel RCI di sini hari ini.

Tambah Azman lagi, beliau tidak tahu sama ada BNM ada meletakkan sebarang had transaksi dagangan yang dibuat menerusi arahan pengurusan.

Jelasnya, BNM juga tidak menetapkan sebarang stok kerugian yang menjadi penanda aras kepada pedagang dalam membuat urus niaga.

"BNM memang tiada stok kerugian yang ditetapkan kepada kami sebagai pedagang dalam menjalankan urus niaga.

"Tidak ada had bagi setiap transaksi. (Saya) tidak ingat transaksi yang saya buat tapi jumlah boleh mencecah bilion dollar (AS) dalam sehari.

"Saya tidak berani menjalankan urus niaga melainkan arahan dari (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop atau pun ketua pedagang,” ujarnya.

Katanya, beliau mendapat arahan terus daripada Nor Mohamed selaku pedagang yang melakukan urus niaga mata wang asing oleh BNM.

Menurutnya, tugasnya sebagai Pentadbir Pertukaran Asing BNM, beliau hanya melaporkan setiap aktiviti urus niaga kepada ketua pedagang ketika itu Lim Tan Mee (1988-1989), Selvaraj (1989-1990), dan Chua Tiong Chin (1990-1994) serta Nor Mohamed yang merupakan penasihat kepada BNM ketika itu.