Skip to main content
Advertisement

Malaysia

RCI Tabung Haji: Beberapa individu yang pernah ditahan akan dituduh di mahkamah - SPRM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Advertisement

PUTRAJAYA: Beberapa individu yang pernah ditahan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, masing-masing Khamis dan Jumaat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata tiga pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, manakala satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Pertuduhan berkenaan membabitkan kesalahan penyalahgunaan kuasa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Abd Halim berkata, satu lagi kertas siasatan berkaitan pelaburan dan pajakan Lembaga TH dalam Al-Rawda Real Estate Development and Project Management Company Limited, termasuk pajakan hotel di Mekah dan Madinah bernilai SAR2.49 bilion (RM2.68 bilion), dijangka dikemukakan untuk pertuduhan minggu depan.

Beliau berkata, siasatan berkenaan membabitkan nilai pajakan hotel di Makkah dan Madinah yang dianggarkan berjumlah SAR2.49 bilion (RM2.68 bilion).

"Ya, pertuduhan ini melibatkan individu bergelar VIP," katanya ketika ditanya sama ada individu yang bakal didakwa itu membabitkan golongan kenamaan.

Abd Halim turut tidak menolak kemungkinan individu berkenaan adalah antara mereka yang pernah direman SPRM sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM secara keseluruhannya sudah membuka 14 kertas siasatan berkaitan RCI TH, dengan empat daripadanya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

"Setakat ini sebanyak 18 individu ditahan, dengan 11 daripadanya ditahan reman, selain 245 saksi dipanggil untuk membantu siasatan.

"SPRM turut memeriksa dan menggeledah 60 premis bagi mendapatkan dokumen berkaitan," katanya.

Menurut Abd Halim, antara 11 individu yang pernah direman termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Plantation, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) TH Plantation, bekas pengarah Putra Perdana Construction, bekas Pengarah Putrajaya Perdana Berhad serta bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, tindakan pendakwaan itu adalah hasil siasatan yang dijalankan SPRM susulan penemuan dan syor dalam Laporan RCI TH.

Sementara itu, menurut senarai kes mahkamah, seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Khamis. 

Beliau dijadualkan hadir di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud pada pukul 9 pagi.

Must Watch Video

Advertisement