KOTA BHARU: Bekas timbalan pengurus besar projek pembinaan TH Properties mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah wang hasil kutipan penalti daripada kontraktor bagi projek pembinaan bangunan komersial milik Tabung Haji (TH).
Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, didakwa bersubahat dengan Mohamad Hashim Mukhatap yang ketika itu merupakan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd dan seorang ejen yang diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM14,000 telah melakukan pecah amanah terhadap wang tersebut.
Wang berkenaan merupakan hasil kutipan penalti terhadap kontraktor Kelpile Sdn Bhd bagi projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi 244 unit pangsapuri perkhidmatan, empat unit penthouse, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, sub-basement satu tingkat serta kemudahan berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, Bandar Kota Bharu, Kelantan.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 15 Sept lepas, Mohamad Hashim, 53, sebagai Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd didakwa atas pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang berkenaan dengan memasukkannya ke dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Nov 2017 hingga 8 Ogos 2018, di Sofea Residensi, Lot 10015, Seksyen 12, dalam daerah Kota Bharu.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmah Che Wan menawarkan jaminan RM15,000, manakala peguam Fahmi Abd Moin Khairuddin yang mewakili Tengku Kamarolhisham memohon jaminan RM5,000.
Fahmi berkata anak guamnya memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan dan mempunyai enam anak yang sebahagiannya baru memulakan pekerjaan, menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta bersekolah menengah.
“Anak guam saya juga mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi dan kolesterol,” katanya dan menambah tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan pertuduhan bersubahat pecah amanah melibatkan projek berlainan.
Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi serta melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 19 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Tindakan undang-undang susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kepada umum berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji menyaksikan enam individu didakwa di mahkamah, setakat hari ini.
Mereka termasuklah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, serta menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
Laporan itu turut menyebut bahawa wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
-- BERNAMA