KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menegaskan tiada aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada bukan Islam atau orang Cina seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.
Beliau berkata, aset yang dipindahkan menerusi Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH adalah kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah syarikat tujuan khas milik kerajaan.
“Tiada aset yang dijual kepada bukan Islam mahupun kepada Cina seperti yang difitnahkan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menanamkan kebencian dan membuat hasutan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Persidangan Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.
Menurutnya, pelan berkenaan dilaksanakan selepas TH berdepan jurang defisit antara aset dan liabiliti melebihi RM10 bilion pada suku keempat 2018.
Kerajaan ketika itu kemudian memutuskan untuk menjual aset kurang berdaya saing dan bermasalah bernilai RM9.7 bilion pada nilai premium RM19.9 bilion bagi menutup jurang berkenaan.
Aset yang dipindahkan kepada UJSB melibatkan 106 saham tersenarai, 29 hartanah dan sebuah syarikat ladang kelapa sawit.
Bagi membiayai pembelian itu, UJSB mengeluarkan sukuk yang dilanggan sepenuhnya oleh TH.
Dalam masa sama, TH diberikan Right of First Refusal atau Hak Keutamaan untuk Menolak terhadap aset berkenaan sekiranya UJSB bercadang menjualnya kepada pasaran.
Hak itu tidak mewajibkan TH membeli semula aset terbabit, sebaliknya memberikan institusi berkenaan keutamaan untuk berbuat demikian berdasarkan penilaian komersial dan kesesuaian dengan kriteria pelaburannya.
Zulkifli turut menegaskan, pelan pemulihan tersebut diwujudkan bagi menyelamatkan TH daripada kesan keputusan yang dibuat pada tahun-tahun sebelumnya dan bukannya bertujuan mengambil aset institusi itu.
"Pelan ini diwujudkan kerana Kerajaan perlu menyelamatkan (bailout) TH daripada kesan keputusan-keputusan yang telah dibuat bertahun-tahun sebelumnya.
"Pelan ini bukan diwujudkan kerana Kerajaan mahu mengambil aset TH. Itulah hakikat yang tidak boleh dinafikan," katanya lagi.
Menurut beliau, Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion, termasuk RM10 bilion menerusi Pelan Pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga penghujung 2025.