KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan meluahkan rasa terkilan dengan tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat.
Ia ketika Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) sedang dibahaskan dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Zulkifli, wakil rakyat yang benar-benar mahu memperjuangkan agenda umat Islam seharusnya kekal dan mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.
“Saya amat terkilan dengan kelakuan pihak pembangkang pada pagi ini. Kita ingin membincangkan mengenai satu institusi yang amat penting. Namun mereka mengambil sikap untuk meninggalkan Dewan ini. Bukan semua, separuh daripada pembangkang.
“Setulus dan seikhlasnya saya ingin menyeru kepada pihak pembangkang untuk duduk dan bahas kalau benar-benar memperjuangkan agenda umat Islam di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan persidangan khas itu diteruskan.
Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum itu mendesak supaya persidangan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri tidak dapat menghadiri persidangan itu selepas menjalani pembedahan laparoskopi bagi merawat hernia paraumbilikal semalam.
Johari bagaimanapun berpandangan ketidakhadiran Perdana Menteri tidak menghalang persidangan diteruskan memandangkan kerajaan masih diwakili Timbalan Perdana Menteri serta anggota Kabinet lain.
Dalam pada itu, Zulkifli mengingatkan TH tidak seharusnya diheret ke dalam gelanggang politik meskipun wujud perbezaan parti dan pandangan.
“Tabung Haji bukan milik kerajaan hari ini. Bukan milik kerajaan semalam. Bukan milik mana-mana parti. Tabung Haji adalah amanah umat Islam Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa di sebalik setiap simpanan TH terdapat pendeposit yang mengumpul wang bertahun-tahun dengan harapan untuk menunaikan ibadah haji.
Justeru, Zulkifli menyeru semua pihak supaya tidak membiarkan kepentingan politik mengatasi kepentingan pendeposit dan umat Islam.
“Jangan sekali lagi kita benarkan Tabung Haji menjadi mangsa kerakusan kuasa. Jangan sekali lagi kita benarkan kepentingan politik mengatasi kepentingan pendeposit dan umat Islam,” katanya lagi.