Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Kerajaan pertimbang tubuh pasukan pelbagai agensi - Amir Hamzah

AMIR HAMZAH
Amir Hamzah berkata, kerajaan terbuka meneliti cadangan berkenaan sebagai sebahagian usaha menambah baik pengawasan serta mengelakkan kelemahan sama berulang. - Facebook Parlimen Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi bagi memperkukuh siasatan dan tindakan susulan terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan terbuka meneliti cadangan berkenaan sebagai sebahagian usaha menambah baik pengawasan serta mengelakkan kelemahan sama berulang.

“Cadangan-cadangan yang bernas, kita akan ambil dan melihat cara yang terbaik untuk buatnya,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat berhubung RCI TH, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab cadangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) supaya kerajaan menubuhkan multi-agency task force bagi memastikan siasatan tidak dilaksanakan secara berasingan atau secara silo.

Syed Saddiq berpandangan, pendekatan melibatkan beberapa agensi membolehkan proses semak dan imbang dilakukan, selain memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih tegas dan pantas.

Amir Hamzah turut mengambil maklum cadangan Datuk Mohd Radzi Jidin (Bersatu-Putrajaya) berhubung keperluan mewujudkan mekanisme pengawalseliaan lebih menyeluruh terhadap TH.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan sebarang ketidakpatuhan atau pelanggaran yang dikenal pasti menerusi RCI disiasat sehingga selesai.

“Siapa yang bertanggungjawab, kita kena mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Dalam masa sama, Amir Hamzah berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kerangka tadbir urus TH, termasuk menerusi pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Menurutnya, pindaan itu antara lain akan melarang ahli politik aktif secara berkanun daripada menganggotai Lembaga Pengarah TH.

Selain itu, pelaburan TH akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, manakala pengisytiharan hibah akan dibuat berdasarkan akaun yang telah diaudit.

“Setiap keputusan mengenai Tabung Haji diukur dengan satu neraca saja iaitu kepentingan ummah,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement