Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] RCI Tabung Haji: "Saya tidak langkaui syor TH, sedia disiasat" - Jamil Khir

tabung haji, jamil khir baharom, BN
Jamil Khir menegaskan sebarang urusan termasuk meluluskan permohonan, menjual, membeli atau menyewa aset hanya boleh dilakukan selepas mendapat syor daripada TH. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai garis panduan tadbir urus yang menetapkan Menteri tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian, kata Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, menegaskan sebarang urusan termasuk meluluskan permohonan, menjual, membeli atau menyewa aset hanya boleh dilakukan selepas mendapat syor daripada TH.

“Tabung Haji telah meletakkan satu garis panduan, good governance, di mana menteri tidak boleh meluluskan sebarang permohonan, sebarang permintaan, tidak boleh menjual harta, tidak boleh membeli harta, tak boleh sewa dan sebagainya, melainkan dia mendapat syor daripada Lembaga Tabung Haji.

“Lembaga Tabung Haji pula tidak boleh melakukan cadangan-cadangan tertentu melainkan setelah dilihat oleh risk management, satu kumpulan yang tengok balik, satu kumpulan pelaburan, dan kertas-kertas ini diberikan perhatian,” katanya ketika ditemui media pada program Pelancaran Ikrar Wanita Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri, di sini, hari ini.

Jamil Khir yang bertanggungjawab ke atas institusi pengurusan haji itu semasa memegang jawatan berkenaan berkata, sepanjang pentadbirannya, setiap keputusan dibuat mengikut proses yang ditetapkan dan turut melibatkan ahli-ahli lembaga yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

Beliau juga mempersoalkan sekiranya ada  memorandum yang membuktikan beliau melangkaui syor ditetapkan TH susulan puluhan syor pembaharuan dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baru-baru ini meliputi aspek tadbir urus, pengurusan dana, subsidi haji, pelaburan dan kawal selia institusi itu.

“Tolong tengok semak balik mana memorandum yang dibawakan kepada saya yang saya melangkaui daripada cadangan yang dibawa oleh Lembaga?

“Kalau saya ditanyakan tentang soal kuasa menteri dan sebagainya, kuasa menteri adalah berdasarkan syor daripada Lembaga,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan  bersedia untuk disiasat sekiranya terdapat keperluan berhubung isu pendedahan RCI mengenai TH.

Jamil Khir juga berkata laporan itu tidak mendapati wujud unsur 'sakau', mencuri atau merompak wang seperti yang didakwa.

Beliau berkata, perkara itu seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa mengikut proses yang ditetapkan dan beliau tidak mempunyai sebab untuk mengelak daripada disiasat.

“Kalau nak disiasat, siasatlah. Kalau dah dalam aturan memang kena. Kalau nak siasat tak apalah, takkan pula kita nak lari kan. Saya rakyat Malaysia, takkan nak kena pergi luar negara?” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan audit sahih bagi TH adalah melalui Jabatan Audit Negara (JAN), selaras dengan kedudukannya sebagai badan berkanun di bawah Akta Tabung Haji 1955 (Akta 535).

“Perkara ini yang saya nak sangat tekankan supaya kita semua jelas. Bila Jabatan Audit Negara (JAN) menjadi tanggungjawab, JAN inilah menjadi auditor yang sah dan sahih.

“Tak kira ada yang bercakap soal PricewaterhouseCoopers (PwC), audit antarabangsa. Bahkan Tabung Haji pun ada audit yang kita namakan (laksanakan) dengan Ernst & Young (EY). Jadi ini audit antarabangsa, hanya memenuhi keperluan untuk perantarabangsaan khususnya kalau kita ada hartanah di luar negara.

“Audit antarabangsa juga kita perlukan, tetapi audit sahih ini kena faham sangat-sangat datang daripada JAN,” katanya.

Jamil Khir juga menambah, sepanjang tempoh beliau berada dalam institusi itu dari 2009 hingga 2017, TH menerima laporan audit yang bersih daripada JAN.

Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH itu diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) malam tadi.

RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PwC, Ernst & Young (EY) dan Roland Berger. 

Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022. 

RCI diberikan tempoh enam bulan untuk menjalankan siasatan sebelum menyiapkan laporan akhirnya pada 19 Julai 2022 dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos tahun sama. 

Must Watch Video

Advertisement