Skip to main content

Malaysia

RCI Tabung Haji: Subsidi haji boleh melonjak kepada RM742 juta setahun jika …

MEKAH, 25 Mei -- Jemaah haji dari seluruh dunia melakukan tawaf mengelilingi kaabah pada hari tarwiyah di Masjidil Haram hari ini.  Hari Tarwiyah menandakan permulaan ibadah haji, jemaah akan mula bermalam di Mina dan bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah pada keesokan harinya pada 9 Zulhijjah 1447H bersamaan 26 Mei 2026._BERNAMA
Peningkatan kos haji dari tahun ke tahun dijangka terus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan TH kerana sebahagian besar kos berkenaan ditanggung melalui subsidi yang disalurkan kepada jemaah haji Muassasah. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tabung Haji mungkin perlu menanggung Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) sehingga RM742.47 juta setahun menjelang 2030 sekiranya model subsidi dan kadar bayaran haji semasa dikekalkan.

Menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) yang diterbitkan hari ini, peningkatan kos haji dari tahun ke tahun dijangka terus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan TH kerana sebahagian besar kos berkenaan ditanggung melalui subsidi yang disalurkan kepada jemaah haji Muassasah.

RCI mendapati jumlah HAFIS yang ditanggung TH meningkat daripada RM106 juta pada 2014 kepada RM300 juta pada 2019, sebelum dijangka meningkat kepada hampir RM400 juta setahun bermula 2022.

Menurut laporan itu, kos haji bagi jemaah Muassasah meningkat daripada RM15,553 pada 2013 kepada RM25,540 pada 2022, namun bayaran yang dikenakan kepada jemaah bagi tempoh 2014 hingga 2019 dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang.

RCI berkata walaupun TH memperkenalkan struktur bayaran baharu pada 2022 iaitu RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi bukan B40, jumlah subsidi yang perlu ditanggung institusi itu masih berada pada tahap yang tinggi.

Jejas hibah pendeposit

Suruhanjaya berkata, peningkatan kos HAFIS memberi kesan langsung kepada keuntungan TH kerana bantuan berkenaan dibiayai menggunakan hasil pelaburan institusi itu.

Menurut RCI, peningkatan subsidi akan mengurangkan jumlah keuntungan yang boleh diagihkan kepada pendeposit dalam bentuk hibah, selain meningkatkan kebergantungan TH kepada dana deposit yang besar untuk mengekalkan model sedia ada.

Laporan itu menyebut, TH memerlukan sekurang-kurangnya RM60 bilion dalam bentuk deposit untuk menampung HAFIS pada tahap semasa, manakala peningkatan kos subsidi pada masa hadapan akan memerlukan dana yang lebih besar.

Suruhanjaya turut memberi amaran bahawa kadar hibah yang rendah berpotensi mendorong sebahagian pendeposit besar mencari alternatif pelaburan lain, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada aliran deposit TH.

Kerajaan jamin deposit RM88 bilion

Pada masa sama, RCI mengingatkan bahawa kerajaan menanggung jaminan ke atas deposit pendeposit TH yang ketika laporan itu disiapkan bernilai kira-kira RM88 bilion.

Menurut Suruhanjaya, sekiranya TH gagal memenuhi obligasinya pada masa hadapan, jaminan kerajaan di bawah Akta Tabung Haji 1995 mungkin perlu diaktifkan bagi melindungi kepentingan pendeposit.

"Jika LTH gagal, jaminan Kerajaan kepada pendeposit yang sekarang bernilai RM88 bilion terpaksa diaktifkan," menurut laporan berkenaan.

RCI berkata keadaan sedemikian bukan sahaja memberi kesan kepada TH dan pendeposit, malah berpotensi menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan serta kestabilan sistem kewangan negara.

Sehubungan itu, Suruhanjaya mengesyorkan sebarang bentuk bantuan atau subsidi haji diberikan secara lebih bersasar dan hanya kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

RCI turut mencadangkan deposit minimum untuk melayakkan seseorang mendapat giliran haji pertama dinaikkan daripada RM1,300 kepada kos haji semasa bagi mengukuhkan kedudukan dana TH dan mengurangkan tempoh menunggu haji.

Untuk rekod, RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan beberapa penemuan yang dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara serta firma perunding PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger. 

Suruhanjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bersama lima lagi pesuruhjaya yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan 2022. 

RCI diberikan tempoh enam bulan untuk menjalankan siasatan sebelum menyiapkan laporan akhirnya pada 19 Julai 2022 dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos tahun sama. 

Must Watch Video

Advertisement