Rebat 15 peratus diberikan kepada pengguna terjejas pencemaran Sungai Johor - Onn Hafiz

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kejadian itu, yang disifatkan bukan perkara kecil. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Sebanyak 292,158 akaun pengguna yang terjejas susulan pencemaran Sungai Johor diberikan rebat sebanyak 15 peratus bagi bil air Oktober.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata diskaun berkenaan merangkumi pengguna domestik dan bukan domestik termasuk rumah kediaman, ibadat, premis perniagaan serta institusi kebajikan.
Beliau berkata bantuan itu diberikan bagi meringankan beban dan menghargai kesabaran rakyat yang terkesan.
"Saya menyedari bahawa bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan kesusahan telah dialami, namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata kerajaan negeri turut memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kejadian itu, yang disifatkan bukan perkara kecil kerana telah menjejaskan kelangsungan hidup dan mengganggu aktiviti keluarga, operasi sekolah, hospital serta premis perniagaan.
"Kerajaan negeri amat memahami keresahan rakyat dan memandang serius setiap aduan serta cabaran dihadapi sepanjang tempoh gangguan tersebut," katanya.
Justeru, beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan agar insiden seumpama itu tidak berulang.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata walaupun bekalan air telah pulih sepenuhnya pada 9 malam tadi, pasukan lapangan Ranhill SAJ masih menjalankan pemeriksaan menyeluruh di beberapa lokasi bagi memastikan kestabilan tekanan dan aliran bekalan air.
Menurut beliau, tumpuan utama ialah kepada penyelesaian isu airlock, tekanan rendah serta bekalan tidak stabil, bagi memastikan bekalan air yang diterima rakyat benar-benar stabil dan berkualiti tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas barisan hadapan, termasuk Ranhill SAJ yang bekerja tanpa henti serta rakyat yang telah menunjukkan tahap kesabaran, kerjasama dan semangat kebersamaan yang tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata kejadian itu telah menjejaskan 292,158 akaun pengguna atau hampir 1.168 juta penduduk di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.
Pencemaran yang berlaku pada Jumaat lepas itu berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi, menyebabkan operasi empat loji rawatan air terpaksa dihentikan secara berperingkat.
Kejadian pencemaran itu turut menjejaskan mata pencarian lebih 150 nelayan termasuk komuniti Orang Asli di sepanjang hulu Sungai Johor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


