Skip to main content

Malaysia

Reformasi pasaran buruh perlu seimbang, berpandukan realiti industri - MEF

41602675553_MEF.jpg
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memaklumkan pendekatan itu penting kerana ekosistem buruh yang stabil, fleksibel dan mesra pelaburan adalah asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

KUALA LUMPUR: Setiap reformasi pasaran buruh perlu dilaksanakan secara seimbang, berfasa dan berpandukan realiti industri bagi memastikan daya saing perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus terpelihara di samping kebajikan pekerja diberi keutamaan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memaklumkan, pendekatan itu penting kerana ekosistem buruh yang stabil, fleksibel dan mesra pelaburan adalah asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan. 

“MEF mengiktiraf usaha berterusan kerajaan di bawah KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial dan pasaran buruh negara melalui pelbagai inisiatif reformasi antaranya termasuk peluasan perlindungan sosial melalui Skim LINDUNG 24 JAM serta pembangunan rangka kerja perlindungan pekerja gig melalui Akta Pekerja Gig 2025.

“MEF kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, KESUMA, kesatuan sekerja serta semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh ekosistem pekerjaan negara yang progresif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” menurut kenyataan MEF itu.

Pada masa sama, MEF memuji kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Ke-114 di Geneva, Switzerland, dengan mengetengahkan pendekatan agenda strategik dunia pekerjaan masa depan khususnya transformasi teknologi, kecerdasan buatan (AI), serta perubahan struktur pasaran buruh global. 

Menurut MEF, pendekatan yang diketengahkan oleh Ramanan menekankan prinsip pertumbuhan berpusatkan manusia, mencerminkan keseimbangan penting antara inovasi teknologi, perlindungan pekerja, daya saing perniagaan dan ekonomi negara. 

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, penyertaan aktif Malaysia dalam ILC Ke-114 di Geneva membuktikan komitmen negara untuk terus berada di barisan hadapan dalam membentuk masa depan pekerjaan global.

“Pendekatan seimbang antara kemajuan teknologi, perlindungan pekerja dan daya saing industri adalah kunci kepada ekosistem buruh yang mampan. MEF menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh dialog sosial dan memastikan setiap reformasi dilaksanakan secara pragmatik, inklusif dan mengambil kira realiti industri,” katanya

Sementara itu, MEF turut mengalu-alukan penglibatan aktif Malaysia dalam kerjasama strategik bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), International Organisation of Employers (IOE), International Social Security Association (ISSA) serta penyertaan dalam Global Coalition for Social Justice

“Langkah-langkah di atas memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap dialog sosial tiga pihak serta mempertingkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan dasar buruh negara,” menurut kenyataan itu. 

MEF juga akan terus menyokong usaha memperkukuh dialog sosial dan kerjasama tiga pihak bagi memastikan Malaysia kekal relevan sebagai pemain utama dalam landskap buruh antarabangsa yang berubah pantas.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement