PETALING JAYA: Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyarankan rangka kerja yang lebih dinamik dan berteraskan data diwujudkan untuk membantu membina pasaran perumahan yang lebih seimbang dan inklusif.
Pengerusinya Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata kerajaan perlu menyemak semula kuota perumahan dan keperluan dasar secara berkala berdasarkan data pasaran sebenar.
“Malaysia mempunyai banyak data daripada pelbagai agensi seperti Housing Integrated Management System (HIMS), Transforming and Empowering Data Usage in Housing (TEDUH), Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), namun sebahagian besar data itu masih tidak tersusun.
“Bagi memastikan maklumat itu dapat digunakan dengan berkesan dalam membuat keputusan, data itu perlu disepadukan supaya data berkaitan pendapatan, bekalan perumahan, demografi, pengangkutan dan perancangan dapat dianalisis bersama-sama, bukannya secara berasingan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ng turut menggesa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kembar digital untuk menganalisis data bersepadu, sekali gus membolehkan perancangan yang lebih berkesan serta membuat keputusan yang lebih tepat.
“AI dan kembar digital ialah alat yang mantap, namun hanya berfungsi dengan maklumat yang bersepadu dan boleh dipercayai.
“Jika digunakan dengan berkesan, teknologi ini boleh mengenal pasti ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan sebelum ribuan rumah dibina, termasuk bilangan rumah dan jenis perumahan yang diperlukan, lokasi sesuai serta bagaimana perumahan itu boleh dihubungkan dengan pekerjaan dan perkhidmatan dengan lebih baik,” katanya.
Menurutnya kerajaan perlu mencari keseimbangan antara mengawal perkembangan bandar yang tidak terkawal dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas.
“Pembangunan berorientasikan transit juga penting berikutan pelaburan besar Malaysia dalam sistem rel membuka peluang untuk menyelaraskan semula perancangan perumahan, pengangkutan dan bandar supaya rakyat boleh menginap lebih dekat dengan tempat kerja, perkhidmatan, kemudahan serta prasarana,” katanya.
Sementara itu, penerbitan penyelidikan terbaharu Institut REHDA bertajuk “Housing For All: Co-Creating A Needs Driven Framework” akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semasa mesyuarat meja bulat pada 28 Julai 2026.
Dapatan utama daripada laporan itu akan dibentangkan pada Persidangan Perumahan Serantau 2026 yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 29 Julai.
Bertemakan “Housing Impact on Sustainable Urban Development and City Planning,” persidangan itu dijangka menghimpunkan lebih 300 peserta yang terdiri daripada pihak berkepentingan kanan sektor kerajaan dan swasta.
-- BERNAMA