PUTRAJAYA: Majikan boleh memohon pengambilan pekerja asing menerusi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 mulai 27 Jan ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Dalam sesi taklimat RTK2.0 di sini hari ini, beliau berkata permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang https://imigresen-online.imi.gov.my/myimms/main sebelum diberikan tarikh janji temu oleh Jabatan Imigresen (JIM).

Apabila majikan mendapat tarikh janji temu, mereka perlu hadir ke Bahagian Pekerja Asing di Putrajaya atau mana-mana pejabat JIM negeri bersama pekerja asing yang telah didaftarkan untuk proses verifikasi, katanya.

"Proses kelulusan mengambil masa sehari sahaja. Apabila diluluskan, majikan perlu membawa pekerja asing untuk menjalani proses pemeriksaan kesihatan dengan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) bagi memastikan mereka sihat dan dapat bekerja dalam sektor masing-masing.

"Proses seterusnya ialah pembayaran fi rekalibrasi, visa, PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara), pemprosesan dan levi. Apabila semua dokumen telah lengkap, majikan boleh mencetak PLKS," katanya serta menegaskan JIM tidak melantik mana-mana individu atau agensi sebagai 'orang tengah' bagi program berkenaan.

Mengenai fi rekalibrasi, Khairul Dzaimee berkata bayaran yang dikenakan untuk setiap pekerja asing ialah RM1,500 untuk setiap sektor.

Beliau berkata sektor pembantu rumah asing ialah sektor baharu yang ditambah, menjadikan lapan sektor dibenarkan bagi proses pengambilan pekerja asing dalam program RTK2.0.

Khairul Dzaimee berkata sektor lain ialah perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian serta perladangan.

"Terdapat sembilan negara sumber bagi pembantu rumah asing iaitu Thailand, Kemboja, Nepal, Laos, Vietnam, Filipina, Sri Lanka, India dan Indonesia," katanya.

Pada 10 Jan lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing.

Kedua-dua perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja tamat pada 31 Dis lepas dan akan diteruskan selama setahun, berkuat kuasa serta-merta.

Semalam, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar memaklumkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dilaksanakan bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing bagi lima sektor dan subsektor kritikal.

Sektor dan subsektor terlibat ialah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

-- BERNAMA