KUANTAN: Seorang remaja berusia 15 tahun hilang dibawa ombak dan dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Cempaka, Sungai Soi, Kuantan, pada jam 4.00 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa bersama empat orang rakan sebayanya pergi ke pantai tersebut kira-kira jam 3.30 petang untuk bermandi.

“Semasa mandi, mangsa bersama rakannya dipukul ombak kuat dan telah dihanyutkan arus ke kawasan yang agak dalam.

“Empat orang rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati telah hilang,” katanya melalui kenyataan media.

Katanya, rakan mangsa telah meminta bantuan dari penduduk berhampiran, dan semasa kejadian mangsa memakai pakaian baju dan seluar berwarna gelap.

“Pihak pusat panggilan kecemasan menerima maklumat melalui MERS 999 memaklumkan kejadian mangsa dipercayai lemas semasa mandi di Pantai Cempaka, Sungai Soi, Kuantan kira-kira jam 430 petang, hari ini.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bergegas ke tempat kejadian bagi membuat pengesahan maklumat dan tinjauan awal,” katanya.

Menurut Wan Mohd Zahari, operasi menyelamat turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, pasukan Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Mangsa yang hilang, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri (15) pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi.

“Manakala mangsa yang selamat ialah Mohd Adam Farhan Mohd Asri, Syed Amirrul Hakimi Syed Mohd Khairul Anuar, Muhammad Haziq Haikal Rohaidi dan Syed Irfan Dannis Syed Mohamad Fitri, kesemua yang terselamat tinggal di Kuantan,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, siasatan awal di tempat kejadian didapati kejadian berlaku di Pantai Cempaka Kuantan dan terdapat angin kencang dan ombak yang agak tinggi di lokasi kejadian.

“Manakala air laut sedang pasang tinggi, bendera merah ada dinaikkan sepanjang pantai menandakan larangan untuk sebarang aktiviti pantai dan ketika itu tiada menara atau petugas pengawal pantai di lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan serta merta melibatkan semua agensi, penugasan SAR bertumpu kepada rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditubuhkan berhampiran tempat kejadian bagi menyelaras usaha dan tindakan SAR di bawah Koordinasi pihak polis. Op SAR pada malam hari diteruskan dengan rondaan di pesisir pantai,” katanya lagi.