KUCHING :Seorang remaja perempuan berumur 16 tahun menjadi korban terkini wabak rabies di Sarawak.

Menurut kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa disahkan meninggal dunia pada 11 November 2020 jam 3.45 petang dengan diagnosis rabies encephalitis.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 10 November kerana mengalami demam selama tiga hari, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif.

Tambahnya lagi, mangsa turut mengalami aerofobia dan hidrofobia.

Dengan laporan terkini kes rabies di negeri itu, ia sekali gus menjadikan jumlah maut akibat kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak meningkat kepada enam orang bagi tahun ini dan merupakan yang ke-28 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain sebelum ini.

Sebaliknya, mangsa dikatakan hanya mempunyai kesan cakaran yang telah sembuh di kaki kanan tetapi tiada perincian penuh yang didedahkan oleh ahli keluarga mengenainya.

Jelas kenyataan itu lagi, mangsa dilaporkan memelihara empat ekor kucing dan seekor anjing. Kesemua haiwan peliharaannya tidak pernah mendapat vaksinasi namun sehingga kini, haiwan peliharaan tersebut dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku.

Laporan sama mendedahkan mangsa telah disahkan dijangkiti virus rabies pada 12 November 2020 melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).