JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki parah selepas dipukul sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Taman Kota Masai di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 17 tahun mengalami pendarahan di telinga kiri serta lebam di beberapa anggota badan termasuk pipi, leher, bahu dan bahagian belakang.

"Susulan itu, tiga suspek berusia 15 hingga 37 tahun ditahan hari ini bagi membantu siasatan. Kejadian ini yang tular dalam media sosial dipercayai berlaku pada jam 5 petang.

"Berdasarkan rakaman, mangsa telah dipukul menggunakan topi keledar di kawasan perumahan, sebelum dimasukkan ke dalam kereta Proton Satria dan dibawa ke tempat lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan dipukul menggunakan kayu cota serta beberapa objek lain.

Mohd Sohaimi berkata, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 26 rekod jenayah lampau selain turut positif dadah jenis methamphetamine.

Motif kejadian, katanya, masih dalam siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 363, Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, polis masih giat memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan pengguna media sosial untuk berhenti menyebarkan rakaman video insiden berkenaan dalam mana-mana platform media sosial.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-21010320. -Sinar Harian