Remaja berusia 16 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas memasuki sebuah banglo berhantu bernama Villa Nabila di Johor Baharu, telah berjaya ditemui.

Perkara ini disahkan oleh pihak polis melalui laman Twitter dan Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Pihak polis mengesahkan bahawa Mohamad Izzat Izzudin Hussin ditemui di Flat Desa Mutiara 4, di Johor Baharu, awal pagi ini.

The Star Online melaporkan bahawa Mohamad Izzat ditemui di rumah kawannya dan terlupa memberitahu ibunya Norhayati Mohamad, 39, tentang perkara itu.

Norhayati pula berkata beliau benar-benar percaya bahawa Mohamad Izzat telah dilarikan oleh ‘makhluk halus’.

“Dia tidak pernah hilang seperti ini sebelum ini, sekarang saya hanya berasa lega, " kata Norhayati kepada The Star Online.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang remaja lelaki telah hilang selepas dia dilihat memasuki bangunan terbiar itu pada Sabtu lalu.

Turut dilaporkan bahawa sekumpulan 30 remaja juga telah hilang.

Walau bagaimanapun, polis menafikan kehilangan misteri sekumpulan 30 remaja di Villa Nabila berdekatan Teluk Danga, Johor Bahru.

Baru-baru ini, sebuah portal pelancongan Amerika Syarikat, Expedia, menyenaraikan Danga Bay sebagai antara lima tempat yang paling berhantu dan menyeramkan di Malaysia kerana lokasi Villa Nabila.

Banglo ini terletak di atas bukit yang menghadap ke Selat Johor.