KUANTAN: Seorang remaja ditemukan lemas selepas mandi di Air Terjun Lipur Sungai Pandan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa Muhammad Irfan Mohd Shafie, 18, dikatakan pergi ke situ bersama 15 rakannya pada 12.30 tengah hari.

"Mangsa dikatakan mandi bersama empat rakan sekitar 1.30 tengah hari sebelum dia didakwa terkapai-kapai meminta tolong.

"Rakan mangsa yang berada berhampiran cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana mangsa dikatakan tenggelam," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata mangsa ditemukan pihak bomba pada 4.08 petang di bawah batu air terjun itu pada kedalaman tiga meter.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

-- BERNAMA