KOTA BHARU: Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang berusia 15 tahun dipercayai dirogol oleh jirannya di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, ibu mangsa menyedari kejadian itu pada jam 12.01 tengah malam, Ahad sebelum membuat laporan polis.

Katanya, pengadu mendapati anak perempuannya tiada di rumah pada jam lebih kurang 7.10 petang pada Sabtu.

“Pada jam 7.50 petang, mangsa pulang ke rumah dan pengadu mengesyaki gadis tersebut keluar bersama kawan lelaki dan dirogol.

“Mangsa dipercayai dirogol oleh lelaki yang juga jirannya, masih bujang berusia 20-an,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, susulan insiden tersebut, pada jam 8.30 malam, Ahad, pihak polis membuat tangkapan ke atas lelaki tersebut di kawasan Jalan Kampung Bunut Payung, Kota Bharu.

“Mangsa seorang OKU masalah pembelajaran dan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu.

“Mangsa dibawa ke hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu mendapati dua rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal dadah ke atas lelaki itu mendapati positif methamphetamine.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk permohonan reman dan ditahan selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian