MALAYSIA
Remaja UK hilang hubungi ibu melalui e-mel, minta jangan dicari - Polis

David Balisong yang dilaporkan hilang sejak 7 Jun lalu, dilaporkan telah menghubungi ibunya melalui e-mel pada 9 Julai. - Gambar fail
SHAH ALAM: Remaja lelaki warga United Kingdom (UK), David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak 7 Jun lalu, dilaporkan telah menghubungi ibunya melalui e-mel pada 9 Julai.
Ringkasan AI
- David Balisong Hubungi Keluarga Melalui E-mel: Remaja UK yang dilaporkan hilang sejak 7 Jun telah menghantar e-mel kepada ibunya pada 9 Julai, memohon maaf dan meminta agar keluarganya tidak mencarinya serta mendoakan kejayaan mereka.
- Polis Teruskan Usaha Mengesan: Tiada rekod menunjukkan David keluar dari Malaysia, dan kali terakhir dikesan melalui CCTV di KL Sentral pada 7 Jun. Polis telah merakam keterangan daripada enam individu bagi membantu siasatan.
- David Tiba di Malaysia Secara Bersendirian: Pelajar Universiti Manchester itu menaiki penerbangan sehala ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan sesiapa, mematikan telefon dan tidak membalas e-mel setelah tiba.
“Antara kandungan e-melnya adalah luahan orang hilang kepada keluarganya ialah jangan bimbang jangan cuba mencarinya dan mendoakan kesmua ahli keluarga berjaya dalam kehidupan mohon maaf kerana melakukan perkara ini dan tidak menyatakan bila akan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada Rabu.
Hussein berkata, walaupun begitu, pihak polis masih meneruskan usaha mengesan remaja tersebut, kerana semakan mendapati tiada rekod menunjukkan David telah meninggalkan Malaysia setakat ini.
Tambah beliau, kali terakhir David dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) adalah di lobi KL Sentral sekitar jam 10.09 pagi pada 7 Jun lalu.
“Setakat ini tiada sebarang rekod menunjukkan remaja itu keluar dari negara ini dan usaha mengesannya akan terus dijalankan,” jelasnya.
Setakat ini, polis telah merakam keterangan daripada enam individu termasuk ibu mangsa, pemandu bas, pengurup wang, penjual tiket serta anggota polis bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa keluarga David di UK telah membuat laporan polis selepas dia gagal dihubungi sejak meninggalkan rumah mereka di Cheadle, Greater Manchester, pada 6 Jun.
“Setakat ini, seramai enam individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kehilangan remaja itu.
“Mereka yang dirakam keterangan termasuk ibu mangsa, pemandu, petugas kaunter bas, pekerja premis pertukaran wang asing serta anggota polis,” katanya.
David, yang merupakan pelajar Sains Komputer di Universiti Manchester, dilaporkan telah menaiki penerbangan sehala dari Manchester ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan sesiapa. Dia juga mematikan telefon bimbit dan tidak membalas sebarang e-mel setelah tiba di Malaysia.
Pihak berkuasa UK kemudian mengesahkan bahawa David telah berlepas secara bersendirian dari Lapangan Terbang Manchester, sebelum maklumat itu disalurkan kepada pihak polis di Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami