Kereta yang anda lihat disini didakwa oleh Renault untuk mampu memberikan kecekapan pembakaran bahan api serendah 1 liter untuk setiap 100km. Sudah tentunya ia menggunakan teknologi hibrid yang termaju, tetapi nombor yang sebegitu hebat agak sukar untuk dipercayai – bayangkan, dari Kuala Lumpur hingga Johor Bahru atau Pulau Pinang dengan pembelian petrol yang berjumlah tidak lebih kos makan snek petang.

Pihak Renault telah memberi fokus kepada tiga perkara utama untuk mencapai kecekapan ini: mengurangkan berat, memperhalusi kualiti aerodinamik, dan penggunaan ‘Z.E. Hybrid’ iaitu satu inisiatif yang membolehkan sifar pencemaran ekzos sewaktu pemanduan harian.

Objektif Renault Eolab bukan sahaja untuk mewujudkan sebuah model prototaip yang bersifat ultra-cekap, tetapi juga untuk membolehkan ia menjadi satu kemungkinan untuk semua orang. Ini bermakna teknologi yang diperlukan tidak terlalu mahal. Bahan-bahan yang ringan diperbuat daripada aluminium dan magnesium, tanpa memerlukan komponen seperti titanium atau gentian karbon yang jauh lebih mahal. Satu lagi keperluan yang dinyatakan sewaktu pembangunan prototaip ini adalah ia mampu untuk dikeluarkan secara besar-besaran dalam masa 10 tahun ini.

Mari kita lihat secara lebih teliti tiga fokus utama yang memberikan Renault Eolab ini kecekapan enjin yang begitu menakjubkan:

Kurangkan berat
Dengan berat hanya 955kg, Eolab ini adalah 20% lebih ringan daripada kereta tanda arasnya (namun tidak dinyatakan apakah kereta itu). Berat yang dikurangkan berjumlah 400kg seperti yang ditunjukkan di bawah.



Renault menyatakan bahawa antara langkah yang banyak membantu di dalam mengurangkan berat kereta adalah menilai semula saiz komponen-komponen mekanikal. Walaupun mungkin menggunakan bahan atau teknologi yang lebih mahal, saiz yang lebih sesuai menjadikan objektif kos dapat dicapai.

Perincian untuk berat yang dikurangkan adalah seperti berikut:
  1. Berat bumbung hanya 4kg, berbanding 10kg jika menggunakan besi biasa
  2. Penambahan aluminium untuk komponen-kompenen yang berat seperti subframe (jimat 5.3kg), suspension arm (jimat 1.8kg), komponen sekitar gandar (jimat 5kg) dan arm belakang (jimat 9kg).
  3. Sistem brek khusus yang dibangunkan bersama Continental menjimatkan 14.5kg.
  4. Kesemua gelas dan cermin pada Eolab membawa kepada berat berjumlah 21kg, 7kg lebih rendah berbanding Clio IV, contohnya.
  5. Berat penyalur udara dikurangkan sebanyak 2.3kg.


Kualiti aerodinamik
Rekaan luar Eolab adalah khusus untuk membolehkan ia melalui rintangan udara dengan lebih mudah, lantas mengurangkan beban kepada enjin untuk memacu kereta. Di samping itu, penggunaan komponen aero yang aktif banyak membantu.

Pada bahagian hadapan, bumper dilengkapi dengan spoiler aktif yang turun sebanyak 10sm pada kelajuan melebihi 70km/sj yang akan menghadkan udara yang pergi ke bawah kereta.

Bahagian belakang pula dilengkapi dengan sistem yang lebih rumit, iaitu sepasang ‘flap’ kecil yang dipasang secara menegak pada bumper dan di belakang tayar. Pada kelajuan melebihi 70km/sj kepak ini keluar sebanyak 6sm untuk memastikan aliran udara kekal dekat pada badan kereta untuk masa yang lebih lama. Ini diperlukan kerana aliran udara yang terpisah daripada kereta terlalu awal selalunya akan menghidupkan suatu zon vakum dibelakang kereta dan sekaligus mewujudkan beban aero (drag).

Senario aerodinamik yang sempurna adalah untuk mempunyai aloi yang tertutup sepenuhnya, namun keperluan penyejukkan brek menjadikan ini mustahil. Penyelesaian kepada ini adalah untuk menghasilkan aloi aktif yang dapat menutup bukaan yang ada secara automatik apabila brek tidak memerlukan penyejukkan. Untuk ini, sensor suhu telah dipasang pada rim itu sendiri.

Perjalanan kereta ini turut diringankan dengan tayar yang direka khusus oleh Michelin. Ia mempunyai lebar hanya 145mm. Berat tayar ini juga diminimakan, dan mempunyai corak bunga yang tidak mempersembahkan nilai rintangan yang tinggi.

Z.E. Hybrid
Sistem pendorongan Eolab dibangunkan sepenuhnya oleh Renault sendiri dan dilindungi dengan 30 hak cipta. Gabungan enjin dan motor elektriknya membolehkan pemanduan eletrik sepenuhnya sejauh 60km. Sistem in bukan hanya khusus untuk Eolab, tetapi dapat juga diadaptasikan untuk kereta-kereta yang mempunyai kos lebih rendah. Namun, teknologi ini hanya akan masuk ke dalam model-model jualan menjelang tahun 2020.

Renault ini menggunakan enjin petrol tiga silinder 999cc dengan output 75hp dan tork 95Nm. Kotak gearnya pula mempunyai 3-kelajuan, sesuatu yang agak ganjil tetapi menurut syarikat ia memadai untuk purata kelajuan Eolab ini.

Motor elektrik yang digunakan juga mempunyai rekaan inovatif yang terbina dalam penutup klac; ia menghasilkan sehingga 67hp dan 200Nm tork. Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri litium-ion berkapasiti 6.7kWh.