KOTA KINABALU: Jenazah tiga anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di luar Balai Polis Weston, Beaufort, petang semalam dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 2.55 petang tadi untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Proses bedah siasat yang bermula 8.30 pagi selesai pada 12 tengah hari sebelum diteruskan dengan urusan dokumentasi.
Jasad Koperal Chiu Teck Siong akan dibawa ke Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini sebelum diterbangkan ke Sarawak.
Jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee pula akan dibawa ke Masjid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini untuk disolatkan selepas Maghrib.
Selesai solat jenazah, kedua-dua jenazah akan dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum diterbangkan ke Kelantan dan Terengganu menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Champin Piuh menzahirkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta HQE yang banyak membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin kawasan Klias dan Lumadan Datuk Isnin Aliasnih serta Datuk Ruslan Muharam selain Persatuan Pegawai Rendah Polis Kontinjen Sabah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.
“Sumbangan ikhlas daripada warga PDRM Sabah turut disampaikan kepada waris ketiga-tiga anggota terbabit sebagai tanda solidariti dan penghargaan atas pengorbanan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital terbabit.
Dalam kejadian 5.50 petang semalam, ketiga anggota yang bertugas di Balai Polis Weston disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi berhampiran balai polis berkenaan.
-- BERNAMA