Perjalanan merentas negeri ke Sarawak dan merentas daerah melibatkan semua warganegara Malaysia dibenarkan berkuat kuasa 10 Jun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia selaras pengumuman kerajaan persekutuan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.

“Semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu memohon melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan tidak perlu mengambil sampel (PCR test) tiga hari sebelum berlepas ke Sarawak," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Bagaimanapun tambahnya, mereka perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan berkuatkuasa 10 Jun 2020.

“Mereka diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera, mengisi borang deklarasi kesihatan.

"Pelawat akan diambil sampel PCR secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri (udara, darat dan laut), dan pelawat juga dinasihatkan untuk memuat turun COVID Trace Sarawak dan Qmunity,” katanya.

Selaras pengumuman oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia, penjarakan sosial dalam pesawat juga dikecualikan sepenuhnya bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

“Semua warganegara Malaysia yang masuk ke Sarawak yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh sebulan yang lepas, wajib menjalani kuarantin selama 14 hari dan akan diambil sampel COVID-19 pada hari ke-10,” ujarnya.

Manakala semua warga asing yang masuk ke Sarawak yang memiliki permit kerja dan visa yang sah termasuk peserta MM2H diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari dan kos kuarantin ditanggung mereka sendiri.

Sementara itu, semua pesakit dalam siasatan (PUS) yang sedang menjalani kuarantin di hotel sehingga hari ini perlu menghabiskan tempoh kuarantin sehingga tempoh tersebut tamat.

Setakat hari ini, 2,060 PUS masih ditempatrkan di 38 buah hotel seluruh Sarawak.