MALAYSIA
'Kakak M tak puas hati' - Pendedahan terbaru rakaman perbualan Zara Qairina tular

Peguam keluarga mengesahkan rakaman itu sahih dan menjelaskan ia disimpan oleh ahli keluarga lain walaupun telefon telah diserahkan kepada polis.
KOTA KINABALU: Perbualan telefon antara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bersama ibunya terus menjadi perhatian apabila rakaman kelima pula tular di media sosial, sekali lagi menyentuh nama ‘Kakak M’.
Ringkasan AI
- Rakaman kelima perbualan telefon antara Zara Qairina dan ibunya tular, menyebut dua pelajar termasuk Kakak M yang didakwa tidak berpuas hati dengannya.
- Peguam keluarga mengesahkan rakaman itu sahih dan menjelaskan ia disimpan oleh ahli keluarga lain walaupun telefon telah diserahkan kepada polis.
- Kematian Zara yang dikaitkan dengan insiden buli terus mendapat perhatian awam dan media sosial, susulan kejadian di sekolah agama di Papar.
"Mak, kan ada dua orang yang nda (tidak) puas hati dengan Ara ni... Yang namanya Kak C tu, Zara sudah berbaik dengan dia.
"Dia kata biarlah tu saja, benda yang lepas jangan dikenang. Yang kakak M ni nda pandai puas hati," katanya.
Mendengar aduan itu, Noraidah Lamat, 45, bertanya kepada anaknya punca mereka tidak berpuas hati.
Namun, Zara menjelaskan dia sendiri tidak tahu sebabnya, tetapi salah seorang daripada mereka sudah melupakan perkara tersebut.
"Entahlah, Ra tidak tahu, tiba-tiba.. Tapi kakak yang satu tu lagi, kakak C tu okay saja dengan Zara mak...
"Dia kata biarlah saja.. Kalau jumpa dia, dia senyum macam biasa," jelasnya.
Sebelum itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili Noraidah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perbualan yang tular itu adalah antara Zara Qairina dan ibunya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan walaupun telefon bimbit Noraidah sudah diserahkan kepada pihak polis, rakaman suara tersebut turut disimpan oleh ahli keluarga lain.
"Dia (Noraidah) ada bagi ahli keluarga lain untuk simpanan sebelum ini," katanya.
Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu.
Bagaimanapun, Zara Qairina disahkan meninggal dunia keesokan harinya dan kematiannya mendapat perhatian ramai terutama di media sosial selepas kejadian tersebut didakwa dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah tersebut. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami