BANGI: Rentas negeri mungkin akan dibenarkan sekiranya kes harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan penurunan ketara menjelang akhir Ramadan kelak.

Begitupun, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir berkata, berdasarkan jumlah kes semasa, beliau bimbang aktiviti rentas daerah pula yang akan dilarang nanti.

Menurutnya, jumlah kes positif yang masih tinggi merupakan salah satu sebab mengapa timbulnya cadangan rentas negeri tidak dibenarkan pada Aidilfitri bulan depan.

"Kalau kes turun, Insya-Allah (boleh rentas negeri) sebab keputusan bukan dibuat satu agensi saja. Kita duduk bersama (untuk berbincang).

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan buat penilaian risiko tapi yang kita bimbang bukan nanti tak boleh rentas negeri, tapi rentas daerah pun tak boleh kalau kes memuncak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di Bazar Ramadan di Seksyen 1, Bangi di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Zul-Kefli @ Zulkefli Khalid.

Dalam pada itu, Mohd Rabin menasihatkan semua pihak termasuk peniaga dan pengunjung bazar Ramadan untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.

Tegasnya, jika kes terus meningkat sehingga akhir Ramadan, kerajaan mempunyai sebab yang kuat untuk menyekat perjalanan rentas negeri.

"Kita melihat bahawa kebanyakan kita di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, kita adalah golongan cendekiawan, cerdik belaka. Bila kita masuk ke bazar Ramadan, tolong jaga SOP.

"Kita sungguh-sungguh minta mereka menjaga kerana isu COVID-19 ini bukan isu main-main. Kita dah ada fasa satu dulu, jumlah kita yang ramai.

"Kerajaan telah membalanjakan begitu banyak, mahukah kita biarkan ia berulang lagi?," tegasnya.