SHAH ALAM: Representasi yang dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk membatalkan dua tuduhan menghasut ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 Mei lalu.

Semasa prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada pihak pembelaan yang mewakili Sanusi, 50, sebelum ini.

Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, Muhammad Sanusi berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan dua pertuduhan itu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Pertuduhan itu dibacakan semula dengan Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah. - Sinar Harian