Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah malam tadi berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi perkahwinan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dengan pasangannnya Wong Mew Choo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Chong Wei dan isteri, bekas pemain negara, yang berpakaian ala Barat, masuk ke dewan pada pukul 8.30 malam dengan diiringi lagu romantik 'Colors of the Wind' nyanyian Vanessa Williams.

Menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussien, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut memeriahkan majlis. Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong adalah juga antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

Pengantin kemudiannya menjalankan upacara memotong kek dengan mengenakan busana yang berbeza iaitu Chong Wei berpakaian suit biru manakala Mew Choo bergaun merah.

Turut ditayangkan video majlis pendaftaran perkahwinan pasangan itu yang sebelum ini merahsiakan tarikh pendaftaran mereka. Majlis bertemakan warna keemasan serta dihiasi bunga-bungaan putih itu
dihadiri lebih 1,000 tetamu dan berakhir pada pukul 10.30 malam.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia, dan Mew Choo mula menjalinkan hubungan 11 tahun lalu semasa mereka baru menyertai pasukan pelapis kebangsaan.

Ahmad Shabery yang ditemui sebelum majlis menyifatkan perkahwinan tersebut sebagai sebuah perkahwinan yang 'sangat hebat' kerana melibatkan dua selebriti sukan negara.

"Semoga perkahwinan ini memberi semangat kepada Chong Wei, mengubah keputusan Olimpik yang lepas, pada Olimpik 2016 kelak," katanya.