KUALA LUMPUR:Sebanyak 12,000 unit rumah mampu milik menerusi skim Residensi Prihatin akan dilancarkan Kementerian Wilayah Persekutuan pada 22 Februari ini.

Menurut Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, skim baharu itu akan menawarkan harga RM200,000 bagi setiap unit rumah meliputi tiga bilik dan dua bilik air.

"Saya akan melancarkan pembinaan 12,000 unit rumah Residensi Prihatin iaitu skim baharu rumah mampu milik berharga RM200,000 seunit.

"Setiap unit dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air ditawarkan pada harga di bawah pasaran dan didedikasi kepada pasangan muda untuk memiliki rumah sendiri," katanya dalam satu ciapan ringkas di akau Twitternya di sini, pada Sabtu.


Annuar menambah, pendaftaran bagi unit dibawah skim itu akan dibuka mulai 23 Februari ini.

Astro AWANI difahamkan, majlis pelancaran itu akan diadakan di Putrajaya dan pembinaan rumah setakat ini hanya meliputi di wilayah berkenaan sahaja.