Ekoran laporan sebuah restoran di Jalan Pengkalan Chepa yang mengenakan caj RM6,000 untuk sarapan seramai 100 orang, Kak Yah iaitu pemilik restoran tersebut tampil membuat penjelasan.

Menerusi sebuah video yang dimuatnaik dalam laman sesawang YouTube oleh TV Wau, Kak Yah berkata seorang wakil membuat tempahan khas bagi rombongan seramai 200 orang tetamu.

Dalam perbincangannya dengan wakil tersebut, mereka bersetuju untuk menghidangkan sembilan jenis lauk termasuk kuih-muih dan pesanan air berasingan mengikut pelanggan. Wakil terbabit turut bersetuju dengan caj RM17 seorang.

Ujarnya, dia terkejut kerana tetamu yang hadir pada hari yang dijanjikan adalah dalam anggaran 400 orang dan bukan seperti 200 yang telah ditempah pada asalnya. Terdapat tetamu yang turut membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Menyedari semua jenis makanan yang sepatutnya dijual kepada pelanggan biasa restoran tersebut telah habis, beliau bertemu dengan wakil yang membuat tempahan dan memberitahu bahawa tetamu yang hadir melebihi tempahan asal. Wakil terbabit meyakinkan Kak Yah bahawa mereka akan membayar apa sahaja amaun yang dicaj oleh Kak Yah.

Apabila selesai majlis, wakil terbabit memintal bil daripada Kak Yah namun meminta Kak Yah agar tidak meletakkan jumlah tetamu dan hanya menulis jumlah bil. Apabila diberitahu jumlah caj ialah RM6,000, wakil tersebut meminta Kak Yah mengurangkan.

Selepas bersetuju untuk mengurangkan harga kepada RM5,500, wakil terbabit mengambil bil asal yang bertulis RM6,000 dan tetap membayar harga sarapan pagi rombongan berkenaan dengan harga RM5,500.

Pemilik restoran itu kini telah membuat laporan polis dan sedang meniliti serta menunggu nasihat daripada peguam. Beliau turut masih belum membuat sebarang keputusan untuk tindakan yang akan diambil.

Berkenaan dengan denda yang dikenakan oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan kepadanya, Kak Yah mengakui kesilapannya kerana tidak mempamerkan senarai harga menu dengan jelas. Beliau mengaku ia sebenarnya ditulis dengan dakwat mudah tanggal dan mengakui kesilapan itu tidak disengajakan.