Revolusi AI bakal ubah sistem kesihatan Sarawak - Dr Sim

Revolusi kecerdasan buatan (AI) menjanjikan potensi besar dalam membantu sektor kesihatan Sarawak mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, kata Dr Sim Kui Hian. - Gambar fail/Facebook Dr Sim Kui Hian
KUCHING: Revolusi kecerdasan buatan (AI) menjanjikan potensi besar dalam membantu sektor kesihatan Sarawak mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, teknologi AI boleh meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan mengambil alih sebahagian tugas manusia, sekali gus meringankan beban kerja serta mempertingkatkan proses diagnosis dan rawatan.
"AI membolehkan tugas yang memerlukan tiga orang dilakukan oleh seorang sahaja. Ini akan membantu mempercepatkan proses diagnosis dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan," katanya selepas Sesi SwinTalk bertemakan "Masa Depan Dipacu AI: Mencipta Semula Belanjawan 2026 untuk Negara yang Lebih Pintar" di Universiti Teknologi Swinburne, di sini, pada Rabu.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, walaupun pelaburan awal dalam AI mungkin tinggi, ia berpotensi mengurangkan perbelanjaan kesihatan jangka panjang berbanding kaedah tradisional.
Beliau berkata, sebagai contoh, Institut Penyelidikan Perubatan Integratif Fudan di Miri yang bakal siap tidak lama lagi akan melancarkan perkhidmatan perundingan doktor AI, yang pertama seumpamanya di luar China.
"Kami berterima kasih kepada Universiti Fudan dan Kerajaan China kerana berkongsi teknologi ini dengan kami di Miri. Ini merupakan inisiatif yang amat bermakna.
"Saya ingin melihatnya sendiri, kerana ada kalanya AI juga tidak terlalu pintar. Sebagai seorang doktor, saya mahu menilai keberkesanannya," katanya merujuk kepada niatnya untuk menilai secara peribadi ketepatan dan prestasi doktor AI itu apabila ia mula beroperasi.
Dr Sim berkata, Sarawak masih menghadapi kekurangan serius kira-kira 2,500 doktor dan menyuarakan harapan agar AI dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia.
"Daripada 650 pegawai perubatan yang dihantar dari Kuala Lumpur, hanya 66 peratus yang melapor diri di Sarawak. Keadaan ini telah menjejaskan operasi hospital di seluruh negeri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


