KUALA LUMPUR: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah melalui buku "The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose".

Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 Sept 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown berkata representasi itu dikemukakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Okt lepas yang menolak saman fitnah yang difailkan oleh Sultanah Nur Zahirah terhadap anak guamnya berhubung dakwaan fitnah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku berkenaan.

"Representasi itu akan diserahkan kepada AGC minggu ini,'' kata Guok ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini.

Pada 31 Okt lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan, menolak saman fitnah tersebut atas alasan tiada tuduhan fitnah daripada kenyataan tersebut walaupun jelas terdapat masalah kesilapan identiti dan memerintahkan kos sebanyak RM80,000 dibayar kepada Rewcastle-Brown, penerbit Cheong Ton Sin dan pencetak, Vinlin Press Sdn Bhd, selaku defendan.

Menurut Guok, hari ini sepatutnya adalah pendengaran permohonan anak guamnya untuk memindahkan kes di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, namun ditangguhkan ke 2 Feb depan.

Beliau berkata pada pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman turut memaklumkan kepada Catherine (Timbalan Pendaftar) bahawa Mahkamah Majistret Kuala Terengganu telah menetapkan tarikh bicara pada Januari 2023.

-- BERNAMA