Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd telah meningkatkan sasaran perkhidmatan kewangan mampan 2026 kepada RM50 bilion berbanding RM20 bilion sebelum ini berikutan pencapaian kukuh setakat ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Rashid Mohamad berkata, kumpulan tersebut telah menggerakkan secara kumulatif RM23.8 bilion dalam perkhidmatan kewangan mampan menjelang akhir tahun kewangan 2023.

“Daripada jumlah ini, RM11.3 bilion disalurkan kepada aktiviti hijau, termasuk projek tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian kecekapan tenaga, menyumbang ke arah matlamat kami untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam membangunkan komitmen sifar bersihnya, RHB melaksanakan latihan asas pelepasan dibiayai yang komprehensif pada tahun kewangan 2023, menetapkan asas 9.26 tan karbon dioksida (MTCO2e) untuk jumlah pelepasan yang dibiayai pada 31 Disember 2022.

“Menyedari bahawa sesetengah sektor menyumbang lebih ketara, RHB mengutamakan lima sektor berimpak tinggi, iaitu bekalan tenaga, minyak sawit, minyak dan gas, hartanah dan pembinaan serta pengangkutan.

“Sektor-sektor ini mewakili hampir 60 peratus daripada pendedahan kewangan kumpulan dan lebih 80 peratus pelepasan yang dibiayai (7.63 MTCO 2e).

"Strategi RHB untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 menumpukan pada pengurangan pelepasan yang dibiayai daripada lima sektor berimpak tinggi ini," katanya.

Menjelang 2030, RHB menyasarkan untuk mencapai pengurangan 20 peratus dalam sektor ini.

Manakala menjelang 2050, matlamat RHB adalah untuk mencapai pengurangan sehingga 96 peratus dalam pelepasan yang dibiayai merentas lima sektor ini.

Antara lain, RHB telah mencapai kemajuan yang ketara ke arah operasi neutral karbon, mencapai pengurangan 43 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau (GHG) operasi berbanding garis dasar 2016, merangkumi Skop 1, 2, dan 3 (Perjalanan Perniagaan melalui Jalan dan Udara).

Kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai pengurangan 45 peratus dalam pelepasan GHG operasi menjelang 2026 dan mencapai operasi neutral karbon menjelang 2030 melalui inisiatif dalaman dan pengimbangan karbon.

“Kami akan terus berinteraksi dengan pelanggan, rakan kongsi perniagaan, pekerja dan komuniti secara lebih luas untuk memulakan perjalanan sifar bersih kami bersama-sama.

“Kami juga akan bekerjasama dengan badan kerajaan, pihak berkuasa pengawalseliaan dan pihak berkepentingan lain untuk mewujudkan kesan berskala, pada masa sama, dipandu tentang kemajuan dan pembangunan dasar kerajaan, arahan dan insentif ke arah mencapai komitmen sifar bersih 2050," tambahnya.