Penduduk di tiga buah kampung di Kuala Terengganu terkejut apabila kampung mereka dibadai ribut yang dikatakan datang sekelip mata sekitar jam 3.15 petang Sabtu.

Bukan sahaja mencetus panik, sebanyak 45 buah rumah rosak teruk manakala sebuah rumah yang tidak berpenghuni pula runtuh akibat dipukul angin kencang berserta hujan.

Penduduk yang terjejas adalah dari Kampung Pulau Musang Sungai, Kampung Padang Sena dan Kampung Padang Jerat.

Menurut salah seorang penduduk, Sabariah Muda, 45 tahun , dia dan tiga ahli keluarga berada di dalam rumah ketika ribut itu melanda kawasan mereka selama kira-kira 15 minit.

“Angin datang macam puting beliung tembak (membadai) atap rumah. Bunyi macam peluru ‘pang pang pang pang pang!' Tak lama tu, (ribut melanda) seluruh kampung.

“Habis atap melayang-layang semua. Pokok terbalik,” ujarnya yang menambah kekecohan itu berlaku dengan pantas.



Sementara itu, seorang peniaga, Ismaniza Ismail, 40 tahun, menyifatkan ribut berkenaan adalah pengalaman yang amat mengerikan.

“Masa ribut kuat tu, orang kata (terjadi) sekilas gitu saja. Degum! Terbalik!

"Orang kata benda yang tak sangka, kan.

“Lepas tu, keadaan jiran, rumah lain dan rumah emak saya pun habis (jadinya) tiada atap belaka. Basah belaka rumah jiran-jiran, basah berjeruk (lencun akibat dimasuki hujan).

“Kalau hujan pun malam ni, tak tahu nak duduk mana. Rumah orang ibaratnya macam telanjang bogel lah.. tiada baju,” kata Ismaniza dalam nada sebak.

Bagaimanapun, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa dan semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian ribut terburuk sejak 40 tahun lalu.

Keadaan struktur rumah yang runtuh akibat dilanda ribut. - Astro AWANI