Sampah: Selangor wajar pertimbangkan laksana model pemantauan berpusat, tingkat pengurusan sisa pepejal

Mazlan berkata pengurusan sampah yang tidak sistematik bukan sahaja menjejaskan kebersihan persekitaran, malah memberi kesan negatif terhadap imej bandar serta keyakinan pelabur. - Gambar hiasan/Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor wajar mempertimbangkan pelaksanaan sistem pengurusan sisa pepejal menerusi pelaksanaan model pemantauan berpusat dan penggunaan teknologi pengurusan sisa pintar, bagi meningkatkan kebersihan, kecekapan perkhidmatan serta kelestarian bandar.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor dinasihatkan mempertimbangkan sistem pengurusan sisa pepejal berpusat dan teknologi pintar untuk meningkatkan kebersihan bandar.
- Penggunaan teknologi seperti sensor IoT dan analitik data dapat meningkatkan kecekapan pengurusan sisa serta menurunkan kos jangka panjang.
- Sultan Selangor menitahkan agar tindakan segera diambil untuk membersihkan negeri berikutan aduan mengenai keadaan kotor, menunjukkan keperihatinan awam yang tinggi terhadap isu kebersihan bandar.
Beliau berkata pendekatan berasaskan teknologi itu, bukan sahaja mampu memperkukuh keberkesanan pengurusan sisa, malah memposisikan Selangor sebagai peneraju tadbir urus bandar pintar dan mampan di peringkat nasional serta serantau.
Mazlan berkata bagi memastikan tindakan susulan yang konsisten dan berkesan, kerajaan negeri perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas, terukur dan berorientasikan hasil, merangkumi penurunan bilangan aduan awam, tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan kutipan, pematuhan jadual oleh konsesi serta peningkatan kadar pengurusan sisa secara mampan.
"KPI ini perlu dipantau secara berkala serta disokong audit bebas dan pelaporan awam, selaras dengan amalan terbaik di negara seperti Jepun dan Korea Selatan, yang menekankan ketelusan serta disiplin prestasi dalam pengurusan kerajaan tempatan," katanya.
Beliau mengulas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung baginda menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor, dan mahukan perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri itu.
Baginda bertitah bahawa peningkatan ketara aduan lengkap dengan nama serta maklumat untuk dihubungi, menunjukkan rakyat benar-benar mahukan tindakan susulan, sekali gus mencerminkan tahap keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.
Mazlan berkata pengurusan sampah yang tidak sistematik bukan sahaja menjejaskan kebersihan persekitaran, malah memberi kesan negatif terhadap imej bandar serta keyakinan pelabur, khususnya di kawasan berimpak tinggi seperti Lembah Klang, khususnya Selangor yang berperanan sebagai nadi ekonomi dan perindustrian negara.
Beliau berkata keperluan untuk mempercepatkan reformasi tadbir urus dan semakan prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa tempatan (PBT) amat mendesak bagi memastikan tahap akauntabiliti, kecekapan dan keupayaan responsif yang lebih tinggi terhadap keperluan rakyat.
"Keperluan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip tadbir urus baik, keadilan sosial dan kesejahteraan awam, serta Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan berimpak tinggi dan berpaksikan rakyat.
"Sehubungan itu, titah Sultan Sharafuddin wajar dilihat sebagai peringatan strategik bahawa isu kebersihan bandar bukan sekadar isu operasi, sebaliknya cerminan langsung keberkesanan tadbir urus kerajaan negeri dan PBT," katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Antarabangsa) Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Profesor Dr Latifah Abd Manaf berkata pengurusan sisa pepejal perlu dilaksanakan secara bersepadu merangkumi keseluruhan rantaian, bermula daripada penghasilan, pengumpulan dan pengangkutan hingga ke proses pelupusan.
Beliau berkata sisa pepejal tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya berpotensi menjadi sumber yang boleh dimanfaatkan semula.
"Dengan perancangan dan strategi yang tepat, sisa boleh dijadikan sumber bernilai, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu serta mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan," katanya.
Ujarnya bagi mencapai objektif tersebut, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan menyeluruh dengan memperkukuh penggunaan teknologi pintar, penetapan KPI yang telus serta reformasi tadbir urus PBT secara konsisten agar pengurusan sisa dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan mampan.
Langkah itu bukan sahaja penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kebersihan bandar, malah bagi memelihara imej negeri serta mengekalkan keyakinan pelabur terhadap Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi utama negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


