Perkeso lulus rayuan pekerja cedera, bukti keperluan lindung 24 jam

Sim berkata hari ini beliau menyerahkan cek bernilai RM9,100 kepada Ah Aik manakala faedah-faedah lain akan diuruskan oleh Perkeso. - Gambar Facebook Steven Sim Chee Keong
GEORGE TOWN: Kejayaan rayuan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan seorang pekerja yang cedera akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja membuktikan keperluan memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja.
Ringkasan AI
- Kejayaan rayuan tuntutan Perkeso memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja, seperti kes Ah Aik yang cedera akibat kemalangan ketika pulang dari tempat kerja, menunjukkan keperluan untuk sistem yang lebih menyeluruh.
- Ah Aik, penjaga stor yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, semula ditolak tuntutannya kerana dokumen tidak lengkap, sehingga setelah rayuan, Perkeso meluluskan tuntutan beliau, membuktikan keperluan prosedur yang teliti.
- Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menyerahkan cek RM9,100 kepada Ah Aik dan menekankan perlunya undang-undang baru seperti Rang Undang-Undang Lindung 24 Jam untuk memperbaiki jurang perlindungan dalam sistem keselamatan sosial dan melindungi pekerja dalam semua situasi.
"Selepas rayuan dikemukakan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang, Perkeso telah meluluskan tuntutan berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sim berkata hari ini beliau menyerahkan cek bernilai RM9,100 kepada Ah Aik manakala faedah-faedah lain akan diuruskan oleh PERKESO.
Beliau berkata kes itu diiktiraf sebagai bencana kerja kerana kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, sekali gus melayakkannya menerima perlindungan di bawah skim sedia ada.
Sim bagaimanapun berkata masih terdapat jurang perlindungan dalam sistem keselamatan sosial sedia ada apabila pekerja yang singgah bagi urusan harian seperti membeli makanan atau menghantar anak tidak diiktiraf sebagai bencana kerja sekiranya berlaku kemalangan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Rang Undang-Undang Lindung 24 Jam yang telah diluluskan di Dewan Rakyat awal bulan ini bertujuan memastikan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dan sejajar dengan realiti kehidupan pekerja.
Sim berkata rang undang-undang itu dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara pada 17 Dis ini dan berharap ia dapat diluluskan serta dilaksanakan segera.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


