Ribut di Telok Panglima Garang: Kerja pembersihan dianggarkan RM1.9 juta - Nanta

Kementerian Kerja Raya menganggarkan kos bagi kerja pembersihan struktur enam bangunan awam yang rosak akibat ribut di Telok Panglima Garang, Selangor semalam sebanyak RM1.9 juta, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - BERNAMA
SEREMBAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan kos bagi kerja pembersihan struktur enam bangunan awam yang rosak akibat ribut di Telok Panglima Garang, Selangor semalam sebanyak RM1.9 juta, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata premis berkenaan membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Tabika Kemas Kampung Medan dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang.
Beliau berkata anggaran kos awalan itu tidak tertakluk kepada kerja pembaikan struktur yang mengalami kerosakan dan anggaran kos sebenar akan dinyatakan selepas mendapat pengesyoran kaedah pembaikan daripada Cawangan Forensik Struktur.
"Ribut kuat menyebabkan kerosakan struktur kritikal di enam premis utama termasuk sekolah dan pejabat kerajaan jadi, Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak pantas dengan pemeriksaan tapak, penutupan kawasan berisiko dan penyediaan laporan awal dalam tempoh 24 jam."Dengan laporan itu nanti barulah kita tahu, apa sepatutnya langkah sementara, sederhana dan jangka panjang, kini kita menumpukan lebih kepada penilaian forensik struktur dan keselamatan elektrik sebelum kerja pembaikan kekal dimulai dimulakan, kos (pembaikan) masih dalam siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) bersepadu pertama di Malaysia di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban (arah selatan) di sini hari ini.
Semalam, Nanta dilaporkan berkata JKR Selangor dan Kuala Langat sedang menjalankan pemeriksaan struktur serta penilaian keselamatan terhadap beberapa bangunan awam yang rosak di Telok Panglima Garang, akibat dilanda ribut.
Beliau berkata SK Sijangkang Jaya antara premis terjejas apabila bahagian bumbung mengalami kerosakan dan JKR menasihati pihak sekolah menangguhkan sesi persekolahan sehingga selamatan struktur bangunan dapat dipastikan.
Sementara itu, Nanta berkata tiada kerja penyelenggaraan jalan raya dilaksanakan di laluan terlibat sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
Beliau berkata langkah itu akan dilaksanakan seperti arahan dikeluarkan pada musim perayaan bagi mengelak kesesakan dan memastikan perjalanan pengguna jalan raya berjalan lancar selain turut bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta syarikat konsesi lebuh raya.
"Semasa musim perayaan, kita memang keluarkan arahan supaya kerja penyelenggaraan jalan dihentikan bagi memastikan kelancaran trafik. Jadi untuk tempoh ASEAN ini pun arahan yang sama akan dikeluarkan kerana akan ada banyak pergerakan melibatkan kerajaan, delegasi dan acara rasmi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami